Jumaat, 14 September 2018 | 12:25pm
ANTARA ahli yang hadir pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke 58 di Taman Tamadun Islam. - Foto Rozainah Zakaria
ANTARA ahli yang hadir pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke 58 di Taman Tamadun Islam. - Foto Rozainah Zakaria

'Jangan ada suara sumbang kerjasama PAS-UMNO'

KUALA TERENGGANU: Dewan Muslimat PAS (DMPM) meminta seluruh kepemimpinan dan ahli parti tidak memandang sepi kerjasama antara PAS dan UMNO yang dilaksanakan atas prinsip meneruskan kerja amar makruf dan nahi mungkar dalam menyantuni mad’u (kumpulan sasaran).

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh, berkata semua ahli seharusnya sedar bahawa kerjasama PAS-UMNO penting, apatah lagi dengan status UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang bukan lagi sebagai kerajaan memerintah, tetapi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Usaha taawun siyasi di atas kejatuhan UMNO/BN tidak boleh dipandang sepi dan jangan ada suara sumbang yang terbawa-bawa dengan angkara lepas tanpa melihat tugas dan tanggungjawab dakwah kita.

“Islam itu sendiri mengajar kita bekerjasama dalam kebajikan dan tidak bekerjasama dalam perkara maksiat terhadap Allah SWT.

“Kita diajar berlapang dada boleh bertaawun dengan sesiapa sahaja yang sudi bersama kita dalam perkara kebajikan dan makruf, biarpun di pihak kerajaan atau pembangkang.

“Jika kita setia kepada baiah dan walak kepada kepimpinan dalam perkara makruf ini, kita tidak mudah keliru dan sangsi serta hilang daya tahan,” katanya dalam Ucaptama sempena Muktamar Tahunan DMPM Kali ke-58 di sini, hari ini.

Muktamar itu dirasmikan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

Turut hadir pada muktamar yang dihadiri hampir 1,000 perwakilan dan ahli parti itu ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan barisan EXCO Wanita UMNO.

Nuridah berkata, pengukuhan kesepakatan suara pembangkang dalam kerangka melaksanakan yang makruf dengan memperbanyakkan kawan dan tidak mencari musuh serta mengurangkan kemudaratan, serta mengutamakan kepentingan Islam demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya adalah selaras dengan ajaran Islam.

“Kita turut mengalu-alukan perubahan sikap UMNO dalam membantu kempen calon PAS di Pilihan Raya Kecil PRK Seri Setia.

“Perubahan sikap ini juga dicontohi pihak MIC dan Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) yang mewakili sebahagian etnik India demi memperkasa suara pembangkang yang kuat di Dewan Undangan Negeri Selangor di atas kepentingan bersama dalam membela kelangsungan rakyat jelata,” katanya.

Berita Harian X