Khamis, 13 September 2018 | 12:28am
GAMBAR fail, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin. - Foto Halim Salleh
GAMBAR fail, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin. - Foto Halim Salleh

UMNO tak perlu bertanding PRK Port Dickson

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu meletakkan calon bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson kerana tindakan itu membuang masa.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, ia berikutan dalam PRK Parlimen Port Dickson, penyandangnya ‘saja-saja’ letak jawatan seolah-olah mempermainkan undi rakyat, bukan disebabkan wakil rakyatnya meninggal dunia.

“Seperti diramalkan, seorang Ahli Parlimen dikorbankan oleh PKR untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding demi memenuhi cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

“Penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah menjadi ‘askar upahan’ yang sanggup mengosongkan kerusinya pada hal beliau menang pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kerana undi rakyat.

“Bukan (Parlimen) Pandan, Permatang Pauh, Selayang atau Sungai Petani, tetapi Port Dickson yang menjadi pilihan Anwar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan, berkata beliau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi BN untuk membuat keputusan sama ada mahu meletakkan calon bagi menentang Anwar di Port Dickson.

Nazir Husin berkata, tindakan yang dilakukan oleh PKR bukan pertama kali kerana sebelum ini Langkah Kajang menyaksikan wakil rakyat mereka meletak jawatan bagi memberi laluan kepada isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Ismail, untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Walaupun Langkah Kajang berjaya, namun hasrat PKR untuk melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar tidak kesampaian.

“Langkah PD (Port Dickson) ibarat ‘hidup atau mati’ kepada Anwar. Sekiranya gagal, bukan sahaja harapan menjadi Ahli Parlimen gagal, malah cita-citanya sebagai PM juga berkecai.

“Mahu atau tidak, Anwar perlu menang,” katanya.

Nazir Husin berkata, ketika PH mendakwa Kerajaan BN banyak berhutang, mereka sebaliknya membazirkan wang rakyat bagi seorang individu menggapai kuasa.

Katanya, UMNO/BN perlu membiarkan Anwar menang percuma di PRK Port Dickson sebagai laluan ke Kabinet untuk membolehkan rakyat menyaksikan ‘drama’ seterusnya antara beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berita Harian X