Ahad, 9 September 2018 | 4:57pm
DR Halimah Ali. - Foto BERNAMA
DR Halimah Ali. - Foto BERNAMA

Muktamar PAS bincang kerjasama dengan UMNO

SHAH ALAM: Kerjasama antara PAS dan UMNO akan dibincangkan pada

Muktamar Tahunan PAS Pusat di Terengganu pada 14 hingga 16 September ini, kata Ahli Jawatankuasa Pusat, Dr Halimah Ali.

Beliau berkata, perbincangan ke arah kerjasama yang lebih erat itu akan menjadi agenda utama selepas kedua-dua parti secara terbuka menyokong satu sama lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Seri Setia.

“Perbincangan mengenai hala tuju peringkat seterusnya akan menjadi keutamaan. Pemimpin UMNO dijemput hadir ke muktamar dan itulah permulaan kepada kerjasama.

“Ini adalah ta’awun atau tolong menolong ke arah kebaikan dan kesejahteraan rakyat serta negara. Apa salahnya ta’awun jika ia memberi keuntungan kepada rakyat.

“Kemungkinan itu (kerjasama lebih serius antara UMNO dan PAS) akan menjadi topik perbincangan dalam muktamar,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PAS TTDI Jaya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan akan menghadiri Muktamar Tahunan PAS Pusat di Terengganu sebagai sokongan moral kepada parti itu.

Menurut Ahmad Zahid, beliau akan ke Kuala Terengganu bersama jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO selepas menerima jemputan rasmi daripada barisan kepimpinan PAS.

UMNO turut mengundang kepemimpinan PAS untuk Perhimpunan Agung parti itu pada 29 dan 30 September ini.

Berita Harian X