Sabtu, 8 September 2018 | 12:27am
DATUK Seri Azmin Ali menyampaikan ucapan pada Grand Finale Pakatan Harapan yang diadakan di Padang Jalan SS5C/9, Petaling Jaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Jangan remehkan PRK Seri Setia

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa pengundi di Seri Setia keluar beramai-ramai mengundi dan tidak meremehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Beliau berkata, pilihan raya itu tetapi penting walaupun ia hanya satu pilihan raya kecil.

“Jangan remehkan PRK ini , apa yang terjadi bukan suatu yang kita kehendaki. Ini ketentuan Allah.

“Pakatan Harapan (PH) sudah diterima rakyat, jadi jangan ambil mudah. Teruskan beri sokongan kepada calon kita dan keluar mengundi...saya tidak mahu apa yang terjadi di Sungai Kandis berulang.

“Saya mohon ahli parti merayu dan minta bantuan pengundi esok supaya ramai keluar mengundi,” katanya ketika berucap pada kempen terakhir ‘Grand Finale’ di Kelana Jaya di sini, malam ini.

Yang turut hadir Naib Presiden PKR, Tian Chua; Dr Xavier Jayakumar dan Nurul Izzah Anwar selain Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Mohamed Azmin berkata, pengundi Seri Setia perlu menolak calon PAS kerana parti itu kini bersekongkol dengan parti yang terbabit dengan rasuah, salah guna kuasa dan ‘merompak’ duit rakyat.

Katanya, ‘rompakan’ duit rakyat itu bukan sedikit jumlahnya tetapi berbilion ringgit.

“PH adalah parti yang mahu berlaku adil dan memastikan penyalahgunaan kuasa dan rasuah dihapuskan, ini menjadi agenda utama pentadbiran kita,” katanya.

Oleh kerana itu, jelas beliau, kerajaan PH memberikan kuasa mutlak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan yang terbaik tanpa campur tangan kerajaan bagi menahan, menangkap, mendakwa dan ‘menyumbat’ pesalah rasuah ke penjara.

Malah, katanya kerajaan mahu mereka yang bersekongkol dengan perasuah turut disiasat.

“Kita beri jaminan pentadbiran yang bersih dan telus,” katanya.

Mengulas mengenai calon, beliau menegaskan calon PH untuk Seri Setia adalah seorang reformis PKR yang tetap berjuang untuk parti walaupun banyak kali namanya tidak tercalon sebagai calon pilihan raya.

“Saya mengenali Halimey sejak 1999, beliau seorang pejuang dan orang tempatan yang faham masalah yang dihadapi pengundi Seri Setia.

“Saya tidak ragu dengan Halimey kerana beliau terbukti dekat dengan rakyat dan memahami masalah rakyat dari segi perumahan, masalah kemiskinan bandar, pembangunan dan peniaga kecil,” katanya.

Berita Harian X