Jumaat, 7 September 2018 | 3:51pm
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Khairull Azry Bidin
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Khairull Azry Bidin

PAS tunggu jawapan pemimpin politik ke muktamar

KUALA TERENGGANU: Pemimpin semua parti politik termasuk kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) diundang menghadiri majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS Ke-64 yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Sabtu depan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata surat jemputan rasmi kepada pimpinan tertinggi semua parti termasuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah dihantar akhir bulan lalu.

Beliau berkata, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sudah mengesahkan untuk hadir memenuhi undangan majlis perasmian muktamar yang akan dirasmikan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Ahmad Zahid sendiri yang mengumumkan untuk hadir ketika berucap pada majlis ceramah mega kesatuan Blok Pembangkang di Bandar Sunway, malam tadi.

“PAS juga turut mengundang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad serta Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Tan Sri S A Vigneswaran (MIC) selain Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong,” katanya kepada NSTP hari ini.

Selain Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-64, muktamar tiga sayap iaitu Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Dewan Pemuda PAS (DPPM) dan Dewan Muslimat PAS (DMPM) juga akan diadakan dua hari bermula Khamis depan.

Muktamar tahunan DUPP akan diadakan di Hotel Permai, manakala DPPM di Duyong Marina and Resort dan DMPM berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI).

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, PAS juga menghantar jemputan kepada pimpinan tertinggi parti dalam PH, tetapi sehingga kini pihak urus setia induk muktamar belum menerima sebarang jawapan.

Sementara itu, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, mengesahkan untuk hadir dan mengiringi Ahmad Zahid ke majlis perasmian muktamar.

Berita Harian X