Ahad, 26 Ogos 2018 | 2:16pm
MOHAMED Azmin (tengah) hadir di Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Perak di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya
MOHAMED Azmin (tengah) hadir di Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Perak di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Ahli PKR bijak memilih - Azmin

IPOH: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyerahkan kepada ahli PKR untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu.

Ketika ditanya peluangnya mengekalkan kedudukan nombor dua dalam PKR selepas pemilihan parti bulan depan, Mohamed Azmin berkata

Katanya, sebagai orang yang sudah bergelumang selama 20 tahun dalam politik PKR, wajar sekiranya pilihan diserahkan sepenuhnya kepada ahli dan mereka boleh menggunakan kebijaksanaan masing-masing untuk memilih siapa yang layak.

“Pemilihan PKR adalah proses biasa dan setiap tiga tahun kita akan adakan pemilihan, sebagai sebuah parti (politik) yang matang saya yakin anggota berpegang kepada amalan demokrasi yang baik, tertib dan bersopan untuk pilih kepimpinan baharu yang akan membantu PKR ke arah lebih cemerlang di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Apa yang penting, PKR akan terus kekal sebagai parti yang cukup relevan kepada pembangunan negara dan sebagainya bagi memastikan aspirasi rakyat dapat dipenuhi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin dan Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty.

Ditanya mengenai pertembungan sengit dengan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang turut mengesahkan pencalonan mencabar beliau bagi bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin berkata ia adalah satu proses demokrasi matang yang dilaksanakan parti.

Katanya, pertembungan beliau dan Rafizi untuk jawatan nombor dua parti itu juga jelas membuktikan demokrasi dalam PKR subur, kukuh dan jelas.

Ia akan membolehkan ahli membuat penilaian dalam pemilihan akan datang dan semua pihak harus menghormati dan mempertahan proses demokrasi dalam parti.

“Apapun saya serahkan kepada kebijaksanaan anggota parti dan saya kira kad laporan saya sudah dapat menyatakan keadaan sebenar apa yang sudah dilakukan untuk parti dan terpulang kepada anggota untuk menentukan masa depan parti,” katanya.

Berita Harian X