Ahad, 29 Julai 2018 | 7:41pm
TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Osman Adnan
TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Osman Adnan

Anwar, Dr Wan Azizah tidak tentu calon

KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak membayangi mana-mana calon untuk membentuk kumpulan sendiri dalam pemilihan parti akhir bulan depan.

Calon Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail, berkata penubuhan kumpulan 'Reformasi 20 Tahun' diketuai Naib Presiden, Rafizi Ramli juga bebas daripada pengaruh langsung Anwar.

Beliau yang turut berada dalam kumpulan itu berkata, calon yang tersenarai dalam kumpulan itu dipilih oleh Rafizi dan mereka menyertainya dengan kerelaan sendiri.

"Tidak timbul persoalan perlu mendapat restu daripada Anwar atau pucuk pemimpin (membentuk kumpulan). Saya fikir ini adalah demokrasi dalam pemilihan parti.

"Calon bebas untuk bertanding dan membentuk gabungan bersama bagi mengharungi pemilihan parti," katanya kepada media selepas majlis pengumuman barisan calon kumpulan Reformasi 20 Tahun di Ampang hari ini.

Antara calon berada dalam kumpulan itu ialah Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Permatang Pauh), Datuk Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani), William Leong (Ahli Parlimen Selayang), S Kesavan (Ahli Parlimen Sungai Siput), Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan),Akmal Masir (Ahli Parlimen Johor Bahru) dan Raymond Ahuar (ketua Pemuda PKR).

Nurul Izzah, Johari, William dan Kesavan bertanding jawatan Naib Presiden, Fuziah (Ketua Wanita), Akmal (Ketua Angkatan Muda Keadilan) dan Raymond (Timbalan Ketua Angkatan Muda).

Terdahulu, Rafizi dalam sidang medianya enggan mengesahkan senarai calon dalam kumpulan pimpinan yang beliau umumkan hari ini mendapat restu Anwar atau Dr Wan Azizah.

"Kalau saya jawab ya, ia mungkin tidak, kalau saya kata tidak, ia mungkin ya. Maka jangan timbulkan isu ini tetapi inilah demokrasi yang PKR amalkan," katanya.

Berita Harian X