Jumaat, 27 Julai 2018 | 8:52pm
NIK Nazmi Nik Ahmad. - Foto Zulfadhli Zulkifli
NIK Nazmi Nik Ahmad. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Nazmi bertanding kerusi MPP, nyatakan sokongan pada Anwar

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan akan bertanding untuk kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu selain menyatakan secara terbuka sokongannya kepada Rafizi Ramli bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Menerusi catatannya terbarunya di laman Twitter, Nik Nazmi turut mengulangi sokongan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding jawatan Presiden PKR pada pemilihan parti itu, bulan depan.

Katanya, sebagai seorang ahli MPP, beliau percaya boleh menyokong, membantu dan bersuara apabila perlu.

Menurutnya, rakyat akan memberi tumpuan kepada parti itu dan mereka perlu memastikan bahawa pemilihan berkenaan akan dijalankan secara adil, telus dan dalam semangat keluarga.

"PKR adalah parti terbesar Pakatan Harapan dan memainkan peranan yang besar dalam pakatan yang mentadbir negara.

"Kami sudah berjaya ke hadapan selepas zaman Reformasi tetapi perjuangan parti untuk memastikan negara yang lebih adil bagi rakyat belum lagi berakhir.

"Justeru, kita perlu melaksanakan agenda Reformasi dalam memajukan Malaysia ke hadapan dan percaya bahawa Anwar dan Rafizi adalah orang terbaik untuk mengetuai perjuangan ini," katanya, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu lagi, keputusan itu (bertanding kerusi MPP) diambil selepas berbincang dengan ahli keluarga, sahabat dan warga Setiawangsa.

Kata Nik Nazmi, dia bersyukur kerana diberikan peluang berkhidmat dan berhasrat menjadikan PKR sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang mereka.

"Selain itu saya akan meneruskan dan mengukuhkan lagi agenda Reformasi dengan menggabungkan tenaga mahupun idea baru atau lama yang menyokong idealisme teras parti.

"Saya sedar, perjalanan akan datang bukan jalan yang mudah tetapi saya tetap komited kepada agenda Reformasi," katanya .

Untuk rekod, Nik Nazmi tidak bertanding mempertahankan kerusi disandangnya kerana perlembagaan PKR menetapkan ketua Pemuda tidak boleh berusia lebih 35 tahun dan ketika ini beliau berusia 36 tahun.

Jawatan Timbalan Presiden PKR pula disandang oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi sudah menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan parti itu bulan depan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah antara tokoh politik tanah air yang tampil mengucapkan selamat berjaya kepada Rafizi.

Menerusi catatan di laman Twitter beliau hari ini, Khairy berharap Rafizi berjaya merebut kerusi Timbalan Presiden PKR.

"Selamat maju jaya, Rafizi. Harap keputusan kamu berbeza dengan saya," katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebelum ini tewas kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pertandingan sengit tiga penjuru bagi jawatan Presiden UMNO, akhir bulan lalu.

Berita Harian X