X
Selasa, 17 Julai 2018 | 2:17pm
YAMANI Hafez Musa. - Foto Edmund Samunting
YAMANI Hafez Musa. - Foto Edmund Samunting

UMNO Sabah 'terputus hubungan' dengan Yamani Hafez

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UMNO Sabah yang juga Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa yang tidak hadir bagi upacara mengangkat sumpah di Dewan Rakyat semalam, dipercayai kini berada di luar negara.

Persoalan mengenai kedudukan anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman itu mula timbul selepas Yamani Hafez tidak hadir bagi mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, semalam.

Walaupun tidak menyatakan lokasi tepat di mana Yamani Hafez berada, beberapa pemimpin Pemuda UMNO negeri percaya beliau kini berada di London.

Setiausaha Pemuda UMNO Sabah, Bahrin Abdul Karim ketika dihubungi berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan Yamani Hafez adalah di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), iaitu sebelum Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

"Selepas itu, kami terputus hubungan. Beliau tidak menghubungi sesiapa pun antara kami (ahli Pemuda UMNO). Saya percaya beliau berada di London menemani bapanya," katanya.

Bahrin yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Kota Kinabalu berkata, Yamani masih memimpin pergerakan Pemuda UMNO di Sabah sementara menunggu pelantikan baharu oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Mazlan @ Joehari Manan yang menggantikan Yamani Hafez sebagai Ketua Pemuda UMNO Sipitang berkata, beliau juga terputus hubungan dengan Ahli Parlimen Sipitang itu dan kali terakhir berhubung ketika pemilihan UMNO untuk meminta kebenarannya menggantikan jawatan itu dan Yamani Hafez memberi persetujuan.

"Saya tak pasti di mana sebenarnya beliau berada, tetapi saya dengar di luar negara," katanya sambil menambah sayap Pemuda UMNO Sipitang kini menumpukan usaha untuk memperkukuh pergerakan itu.

Selepas PRU-14, Musa dilaporkan ke Kuala Lumpur pada 14 Mei, dua hari selepas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Musa kemudian dilihat berada di London sebelum mengeluarkan kenyataan menerusi peguamnya yang mendakwa kini mendapatkan rawatan di negara itu.

Berita Harian X