Khamis, 28 Jun 2018 | 3:14pm
ZAKARIA Dullah.
ZAKARIA Dullah.

Henti perlekeh peranan pimpinan cawangan

SIMPANG RENGGAM: Proses memulihkan semula UMNO mesti bermula di peringkat cawangan.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah, berkata kepemimpinan bahagian perlu memperakui dan memberi kuasa penuh termasuk kepercayaan agar pimpinan empat peringkat di cawangan mampu mengggalas tanggungjawab terhadap ahli dan komuniti.

Beliau yang akan bertanding jawatan ketua UMNO bahagian berkenaan pada pemilihan Sabtu ini, berkata ketua cawangan sepatutnya diperkasa dan diyakinkan bahawa mereka tidak keseorangan kerana ada ahli jawatankuasa untuk mengurus tadbir cawangan dan masyarakat setempat.

"Tugas UMNO bahagian membantu pimpinan cawangan menjayakan agenda dan perkara yang dirancang cawangan terbabit demi kebaikan ahli dan masyarakat yang mereka wakili.

"Kepemimpinan bahagian tidak boleh sama sekali menafikan, menidakkan dan memperlekeh atau membuli pimpinan cawangan dengan melengah-lengah atau bersikap acuh tidak acuh dalam membantu menyediakan keperluan mereka," katanya hari ini.

Beliau berkata, sudah sampai masanya dalam proses pemulihan UMNO, pimpinan bahagian tidak boleh memandai-mandai mengatur dan laksana program seolah-olah lebih tahu apa diperlukan pimpinan dan ahli di cawangan.

Katanya, mereka tidak lagi boleh berlagak dan mendabik dada, seolah-olah dengan menjadi ketua dan ahli jawatankuasa bahagian, mereka lebih bagus daripada pemimpin cawangan. Campur tangan tidak sihat harus dihentikan serta merta jika UMNO mahu proses pemulihan berjaya.

"UMNO bahagian sepatutnya menjadi penasihat kepada cawangan, bukannya tuan dan memperlakukan pemimpin cawangan seperti hamba suruhan, sedangkan darjah dan kedudukan mereka adalah hasil keikhlasan sokongan dan kepercayaan pemimpin cawangan.

"Kekalahan UMNO baru-baru ini bukan kerana kelemahan dikumpul setahun atau lima tahun, tapi berpuluh tahun sehingga pimpinan bahagian, negeri dan pusat hilang hubungan dengan cawangan dan cawangan hilang hubungan dengan rakyat setempat," katanya.

Justeru, Zakaria berkata, proses pemulihan atau menyegarkan semula UMNO mesti bermula dari peringkat paling bawah dalam parti, iaitu kepemimpinan 21,851 cawangan atau akar umbi.

"Ia hanya akan berjaya jika pemimpin 191 bahagian bersedia untuk tidak lagi meremehkan peranan pemimpin cawangan," katanya yang juga Penaung Briged Negaraku.

Beliau berkata, ketika di peringkat awal UMNO ditubuhkan, pemimpin waktu itu bergolak bergadai untuk memajukan parti, tapi selepas lama berkuasa pimpinan parti dilihat lebih banyak berjuang untuk kepentingan sendiri.

Lebih malang lagi, katanya, sistem hiraki dalam parti tidak lagi dihormati kerana mengejar jawatan dan kepuasan diri, malah mereka yang baharu dalam parti sanggup mengetepikan orang lama yang lebih banyak berjasa.

"Mereka seolah-olah mendapat restu kepemimpinan tertinggi bahagian yang tidak mampu menegur kelakuan tidak disenangi pemimpin akar umbi parti. Ini kerana rata-rata kumpulan ini ada sumber dan kekuatan luar biasa yang boleh menyenangkan kerja ketua bahagian.

"Asas penubuhan UMNO adalah untuk mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara. UMNO sebagai parti akar umbi perlu struktur tersusun, maka diwujudkan cawangan berjumlah 21,851 di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, cawangan berfungsi sebagai mata, telinga atau pendukung kekuatan parti dengan kuasa di peringkat cawangan dijelaskan dengan terang dalam Perlembagaan UMNO, Fasal 17.5.1 sehingga 17.5.3.

"Fasal 17.5.1, membincangkan dasar parti untuk dikemukakan kepada mesyuarat perwakilan bahagian. Fasal 17.5.2 pula mengkaji kerja yang telah dibuat oleh jawatankuasa cawangan dan Fasal 17.5.3 mengadakan rancangan kerja untuk faedah rakyat.

"Perkara 17.5.1 menekankan pentingnya cawangan bagi membawa permasalahan di kawasan mereka untuk dibincang, dikemukakan sebagai usul pada mesyuarat bahagian. Fasal 17.5.2 menekankan bagaimana cawangan harus diperkasa, diberi mandat dan kepercayaan melaksanakan gerak kerja parti, jadi peranan parti nampak dalam masyarakat.

"Fasal 17.5.3 pula memastikan hubungan di antara orang kampung atau taman perumahan dengan UMNO sentiasa wujud melalui cawangan, manakala hubungan kepemimpinan cawangan wujud dengan bahagian dan hubungan bahagian wujud dengan negeri dan Pusat," katanya.

Katanya, jika struktur itu diperbaiki, UMNO akan kembali gemilang berbanding ketika ini yang hanya cantik di atas kertas tetapi hakikat sebenar di lapangan, cawangan tidak berfungsi seperti sepatutnya kerana pandangan dan pendapat pimpinan cawangan tidak sampai atau tidak diendahkan pimpinan bahagian.

"Kepemimpinan bahagian mencatur segala-galanya tanpa mengambil kira pandangan ketua cawangan. Merekalah kononnya lebih tahu sesuatu perkara di cawangan itu, menganggap pimpinan cawangan kolot dan hanya diperalatkan bagi menjaga kepentingan peribadi.

"Justeru, selepas 30 Jun ini, siapapun dipilih menjadi presiden UMNO, semua pemimpin dan ahli perlu berazam memperkasakan semula cawangan dengan kembali memberi kepada ketua cawangan, kebebasan serta mandat seperti diperuntukkan perlembagaan parti," katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masanya UMNO mengangkat kedudukan bahagian menjadi penasihat, pembimbing serta pemikir kepada cawangan.

"Contohnya program dan aktiviti dirangka dan dilaksana cawangan, bukan seperti sekarang di mana pimpinan bahagian turut berebut buat program.

"Pimpinan bahagian sepatutnya menjadi pemandu kepada cawangan dan pemikir dengan menyumbang idea, memudahkan pelaksanaan program di cawangan. Jika mereka pun mahu adakan aktiviti untuk UMNO, tiada beza di antara mereka dan kepemimpinan cawangan," katanya.

Berita Harian X