Ahad, 24 Jun 2018 | 10:31am
AHLI Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada sidang media di Bagan Serai, sebentar tadi. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
AHLI Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada sidang media di Bagan Serai, sebentar tadi. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Ahli Parlimen Bagan Serai umum keluar UMNO, BN

BAGAN SERAI : Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali hari ini umum keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pada sidang medianya di sini sebentar tadi, beliau mengesahkan setakat ini menjadi wakil rakyat bebas dan dijangka akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dr Noor Azmi mengisytiharkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat itu adalah satu keputusan yang penuh makna dan bersejarah buat dirinya serta rakyat Bagan Serai yang diwakilinya di Dewan Rakyat.

"Tidak mudah untuk saya membuat kenyataan dan membuat keputusan ini, setelah saya fikirkan sedalam-dalamnya keputusan ini diambil dengan mengambil kira kepentingan rakyat yang saya wakili dan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

"Rakyat dan pengundi Bagan Serai telah membuat keputusan menyokong dan memilih saya sebagai Ahli Parlimen pada pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu dan keputusan ini amat penting bagi kesinambungan segala tugasan dan khidmat saya untuk rakyat Bagan Serai.

"Saya juga berharap agar keputusan saya ini difahami dan diterima rakyat dan pengundi Bagan Serai," katanya.

Berita Harian X