Sabtu, 23 Jun 2018 | 4:40pm
DATUK Zalmah Abdul Rahman. - Foto Farizul Hafiz Awang
DATUK Zalmah Abdul Rahman. - Foto Farizul Hafiz Awang

UMNO perlu belajar berkorban daripada PH

PEKAN: UMNO perlu belajar daripada parti gabungan Pakatan Harapan (PH) ketika mereka menjadi pembangkang, terutama dalam soal pengorbanan.

Ketua Wanita UMNO Pekan, Datuk Zalmah Abdul Rahman, berkata parti gabungan PH, terutama di Pulau Pinang sanggup mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan di bahagian di kawasan 'ala kadar' demi memastikan agenda parti terlaksana.

"Mereka di Pulau Pinang, ada yang buat mesyuarat di bawah pokok, khemah dan rumah, makna kata di kawasan yang kurang selesa berbanding kita dahulu. Mereka berkorban dari segi keselesaan, yang penting perjuangan parti.

"Tetapi kita (UMNO) terlalu dimanjakan dengan kemewahan dan kesenangan sampai kita lupa yang di bawah. Jadi, apabila kita sudah jatuh, kita perlu belajar untuk hidup susah dan berkorban demi kelangsungan parti," katanya pada ucapan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pekan 2018, di sini, hari ini.

Beliau turut menegur segelintir perwakilan dan ahli UMNO yang masih terbawa-bawa dengan 'gaya lama' yang disifatkan tidak akan membawa kebaikan kepada parti.

"Ada yang datang mesyuarat bertanyakan beg (goodies beg) yang mereka dapat tidak seperti dahulu. Puan-puan sekarang kita kena sedar kita bukan lagi kerajaan, kita pembangkang, Allah sekarang sedang uji kita dan kita harus bersyukur," katanya.

Zalmah yang turut bertanding mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO untuk penggal kedua, berpendapat UMNO masih disifatkan parti bertuah kerana mesyuarat bahagian yang diadakan masih dilakukan di dewan berhawa dingin serta disajikan dengan hidangan makanan.

Katanya, ahli UMNO perlu bangkit dan berubah untuk kembali relevan di mata masyarakat, seterusnya bersedia untuk berjuang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"PRU Ke-14 (PRU-14) kita sudah dikejutkan dengan gelombang anak muda, nelayan, penoreh getah serta golongan bawahan untuk kita sedar kehendak dan kemahuan mereka.

"Golongan muda hari ini mahukan pemimpin yang bersih dari skandal dan prihatin terhadap nasib rakyat perkara itu harus kita ambil perhatian," katanya.

Zalmah menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan Nor Azita Abdul Rahman pada pemilihan sayap Wanita UMNO Bahagian Pekan hari ini.

Berita Harian X