Isnin, 11 Jun 2018 | 1:30pm
PENGERUSI Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Dr Ismail Salleh. - Amran Hamid
PENGERUSI Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Dr Ismail Salleh. - Amran Hamid

Isu Speaker DUN Kedah, PAS disifatkan gila kuasa

ALOR SETAR: PAS disifatkan gila kuasa dan tamak apabila masih terus berpolemik mengenai pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dengan menyatakan kesediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika isu terbabit gagal diselesaikan dalam masa terdekat.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Dr Ismail Salleh, berkata sikap terbabit jelas menunjukkan apabila PAS mencalonkan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi sebagai bakal Speaker DUN yang akan bersidang Julai ini. Beliau yang juga EXCO Penerangan, Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, tindakan kepemimpinan PAS Pusat termasuk negeri tidak memahami mesej dan kehendak rakyat apabila terus tamak inginkan kuasa dengan cara tidak betul.

"Selepas cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan ditolak Pakatan Harapan (PH) Kedah, PAS tidak berputus asa apabila menzahirkan sifat tamak halobanya dengan cuba meminta jawatan pula.

"PAS menunjukkan sifat sebenar mereka yang gila kuasa apabila meminta pula jawatan Speaker DUN, sudah tentu permintaan terbabit tidak logik dan tiada asas langsung," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr Ismail berkata, jika PAS benar-benar mahu mewujudkan kerajaan perpaduan, ia sepatutnya dimulakan dengan Kelantan dan Terengganu dan bukannya negeri dimenangi pihak lawan.

"Kita sudah ada 18 kerusi, manakala PAS hanya 15 kerusi dan Barisan Nasional (BN) tiga kerusi. Jika melihat kekuatan PH yang turut menjadi Kerajaan Persekutuan, sudah pasti UMNO yang nazak tidak akan menyokong PAS,

"Maka, PAS simpanlah keegoan sehingga lima tahun akan datang dan hormatilah kehendak rakyat kerana sekarang adalah waktu bekerja. Jika mahu PRN, sudah pasti, semua pihak terutama rakyat tidak mahu ia berlaku dalam tempoh terdekat," katanya.

Sabtu lalu, media melaporkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pihaknya bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk PRN jika isu pelantikan Speaker DUN gagal diselesaikan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, sebenarnya PAS sudah menunjukkan jalan keluar melalui kerajaan campuran membabitkan semua parti, bagi mengelak PRN tetapi cadangan PAS itu (mahukan jawatan Speaker DUN) ditolak.

Berita Harian X