Sabtu, 2 Jun 2018 | 4:50pm
KETUA Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad. - Foto Syamsi Suhaimi
KETUA Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad. - Foto Syamsi Suhaimi

UMNO Kelantan tolak pelawaan sertai PAS

KOTA BHARU: UMNO Kelantan menolak tawaran Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menyertai parti itu.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata UMNO dan PAS hanya boleh `bekerjasama' dalam isu berkaitan agama, Melayu dan juga negara tetapi untuk meninggalkan sebuah parti yang banyak berjasa kepada ahlinya, adalah di luar perjuangan asal parti.

"UMNO bukan PAS walaupun kedua parti ada banyak perbezaan tetapi untuk meninggalkan parti yang mempunyai banyak sejarah adalah di luar pemikiran pemimpin kami.

"Jumlah ahli parlimen UMNO juga tiga kali ganda berbanding PAS. Oleh itu, marilah kita bagi tumpuan dan bekerja untuk kawasan juga negeri masing-masing yang diberi mandat oleh rakyat,' katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tuan Ibrahim semalam yang mempelawa ahli UMNO menyertai parti itu untuk membentuk gabungan yang kuat selepas parti berteraskan bangsa Melayu itu tewas besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata, PAS sentiasa membuka pintu kepada ahli UMNO untuk berbuat demikian kerana tidak mungkin parti itu akan membentuk kerjasama dengan UMNO.

Mengulas lanjut, Md Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata, PAS tidak sepatutnya mendabik dada selepas mengekalkan kuasa di Kelantan selepas PRU-14 lalu.

"Tuan Ibrahim sendiri pun berhijrah ke Kelantan untuk bertanding (dalam PRU lalu).

"Dia sepatutnya memberi khidmat dan fokus kepada kawasan Parlimen yang dimenanginya bukan memperbodohkan rakyat yang bagi kepercayaan mereka dengan mengundi beliau pada pilihan raya lalu," katanya.

Berita Harian X