Ahad, 27 Mei 2018 | 4:25pm
Tan Sri M Kayveas. - Foto Saifullizan Tamadi
Tan Sri M Kayveas. - Foto Saifullizan Tamadi

Berhenti sandiwara, ikut proses undang-undang - Kayveas

KUALA LUMPUR: Tan Sri M Kayveas yang sebelum ini dipecat dari kedudukannya sebagai Presiden MyPPP oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu tetap bertegas mengatakan usaha pemecatannya itu satu tindakan salah dan tidak mengikut undang-undang.

Beliau yang ditemui media selepas selesai Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MyPPP di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini, hari ini, berkata mengikut Klausa 30.3 Perlembagaan MyPPP, mana-mana ahli mencabar keputusan perhimpunan lalu secara automatik keahliannya gugur.

Katanya, pelantikan sebarang jawatan dalam parti pula termasuk presiden dan naib presiden, mesti melalui proses pemilihan parti.

"Negara ini ada undang-undang tetapi tindakan (kumpulan satu lagi) pecat saya dan ambil alih parti. Saya sayang parti, saya boleh berhenti, tiada masalah.

"Tetapi saya tahu dalam parti ini juga presiden tidak boleh dipecat, ahli MT tidak boleh ganti (lantik) presiden (baharu)," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Kayveas berkata, beliau tiada masalah dicabar mana-mana calon yang mahu merebut jawatan tertinggi parti dalam pemilihan.

"Kalau (Datuk Seri) Maglin (D'Cruz) mahu lawan saya.. silakan. Saya tiada masalah langsung," katanya sambil menambah pemilihan Maglin kelmarin kononnya sebagai Presiden baharu MyPPP sebagai tidak sah.

Semalam, satu lagi kumpulan MyPPP dikaitkan dengan penyokong Maglin yang mengadakan AGM sama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), memutuskan menamakan Maglin sebagai presiden baharu menggantikan Kayveas.

Mengulas lanjut, Kayveas berkata, partinya juga sudah menggugurkan keahlian 13 pemimpin MyPPP yang hadir pada AGM di PWTC semalam, termasuk Maglin.

Katanya, surat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertarikh 18 Mei lalu memutuskan beliau masih lagi sah sebagai Presiden MyPPP.

"Kita kena ikut ROS. Saya cabar mereka, jika dia berani mencabar arahan ROS ini. Jadi, apa mesyuarat (AGM) yang dia buat semalam (kelmarin), adalah haram.

"Saya juga diberitahu AGM yang mereka adakan tidak mendapat permit polis. Polis nasihatkan saya supaya tidak hadir (semalam), saya tidak hadir pun, kita tidak kacau," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, satu laporan polis dibuat Pemuda MyPPP mahu pihak pengurusan KLSCAH supaya tidak membenarkan AGM diadakan di sini, hari ini.

"Jika kamu rasa pihak kamu betul, sebab apa takut. Kita ikut arahan ROS, saya tidak perlu ikut perintah mahkamah atau sebagainya," katanya.

Beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa keputusan keluar dari Barisan Nasional (BN) bukan disebabkan kegagalannya bertanding di Parlimen Cameron Highlands, sebaliknya kerana masa depan parti itu.

"Saya tidak kata kami akan masuk Pakatan Harapan (PH) walaupun saya kenal lama Tun Dr Mahathir Mohamad. Jadi, saya harap semua drama ini dapat dihentikan dan patuh undang-undang yang ada," katanya.

Berita Harian X