Sabtu, 26 Mei 2018 | 2:23pm
PRESIDEN MyPPP yang baharu, Datuk Seri Maglin D'Cruz (dua dari kanan) hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MyPPP di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
PRESIDEN MyPPP yang baharu, Datuk Seri Maglin D'Cruz (dua dari kanan) hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MyPPP di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

AGM MyPPP: Maglin dinamakan Presiden baharu

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MyPPP hari ini memutuskan Datuk Seri Maglin D'Cruz dinamakan sebagai Presiden baharu parti itu menggantikan Tan Sri M Kayveas.

Penolong Setiausaha Agung MyPPP, Datuk Simon Sabapathy, berkata pemilihan itu mendapat sokongan sebulat suara 1,236 perwakilan yang hadir.

Beliau berkata, Datuk Dr Loga Bala Mohan pula dipilih sebagai Naib Presiden Kanan, manakala jawatan Naib Presiden disandang Datuk Dr Sivakumar.

"AGM hari ini mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Semua laporan AGM ini akan dihantar kepada ROS secepat mungkin, kita ada tempoh 60 hari (untuk berbuat demikian).

"AGM ini juga dihadiri 85 peratus Ahli Majlis Tertinggi (MyPPP) dan mereka adalah yang dipilih pada 2014," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas AGM itu di sini, hari ini.

Simon berkata, pada AGM itu, pemecatan Kayveas sebagai Presiden terdahulu juga diterima sebulat suara perwakilan parti berkenaan.

"Kita mengadakan AGM ini mengikut perlembagaan parti. Kita berjumpa ROS dua hari lalu dan mereka sudah memberi persetujuan lisan untuk diadakan AGM ini," katanya.

Sementara itu, Maglin berkata, AGM berkenaan juga memutuskan MyPPP kekal dalam Barisan Nasional (BN) dan bukan parti bebas seperti diumumkan Kayveas sebelum ini.

"Kita akan terus kekal dalam BN dan perwakilan sudah bersetuju sebulat suara," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penerangan turut diberi kepada perwakilan, terutama mengenai isu dan permasalahan dihadapi MyPPP.

"Kita menjelaskan apa yang berlaku kepada semua ahli serta perwakilan, dan mereka memahami," katanya.

MyPPP sebelum ini dilanda konflik dalaman selepas parti itu memecat Kayveas daripada jawatan presiden.

Surat pemecatannya turut dikeluarkan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bertarikh 24 April lalu.

Namun, pemecatan itu dianggap tidak sah berikutan surat rasmi dikeluarkan ROS memperakui Kayveas masih Presiden MyPPP yang sah.

Kayveas sebelum ini mengumumkan MyPPP keluar daripada BN berkuat kuasa serta-merta untuk bergerak sendirian sebagai parti yang menyokong kerajaan sedia ada.

Berita Harian X