Isnin, 21 Mei 2018 | 5:31pm
NURUL Izzah akan terus menjalankan tanggungjawabnya dalam memastikan Malaysia menjadi negara lebih baik. - Foto Mikail Ong
NURUL Izzah akan terus menjalankan tanggungjawabnya dalam memastikan Malaysia menjadi negara lebih baik. - Foto Mikail Ong

Tunai janji PRU, bukan kejar jawatan

GEORGETOWN: Semua wakil rakyat perlu memberi keutamaan untuk melaksanakan setiap janji pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bukannya mengejar jawatan dalam kerajaan, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

"Saya sering nyatakan bahawa mana-mana negara muncul sebagai terbaik apabila ahli politiknya lebih memfokuskan untuk menunaikan janji kepada rakyat dan bukannya mengejar jawatan.

"Jawatan ini hanyalah medium untuk menunaikan janji berkenaan dan kita seharusnya fokus bagi lima atau 10 tahun akan datang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman di Pejabat Ketua Menteri di sini hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengulas isu ketidakpuasan hati dinyatakan wakil komponen Pakatan Harapan (PH) mengenai pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pulau Pinang, minggu lalu.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PKR negeri mempertikai pembahagian jawatan EXCO Pulau Pinang yang dianggap tidak mencerminkan kedudukan parti apabila barisannya dikuasai DAP.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin, dipetik sebagai berkata, DAP yang menang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat jawatan Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri II dan enam EXCO.

PKR pula yang menang 14 kerusi DUN hanya mendapat jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan dua EXCO, manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang masing-masing menang dua kerusi tidak mendapat sebarang jawatan EXCO.

Selain itu, wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut melahirkan rasa tidak puas hati berhubung isu berkenaan.

Berikutan itu, Kon Yeow dilaporkan berkata, dalam sistem berparlimen dan Kabinet, ketua eksekutif yang dilantik mempunyai kuasa menukar barisan EXCO jika terdapat keperluan, selain menegaskan tiada keperluan untuk berbuat demikian ketika ini.

Sementara itu, Nurul Izzah yang tidak mahu dilantik sebagai menteri Kabinet, berkata beliau akan terus menjalankan tanggungjawabnya dalam memastikan Malaysia menjadi negara lebih baik.

"Saya konsisten mengenai perkara ini dan saya menerima tawaran untuk dicalonkan kerana rasa cinta dan komited terhadap agenda reformasi, untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik.

"Biarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri Kabinet menjalankan tanggungjawab mereka untuk menunaikan janji dan memperbaiki apa-apa kekurangan, dan ia seharusnya menjadi keutamaan mereka.

"Saya akan jalankan tanggungjawab sebagai ahli reformasi dan setiap wakil rakyat mempunyai tugasan mereka masing-masing, sebaliknya bukan hanya barisan menteri Kabinet," katanya.

Berita Harian X