Sabtu, 19 Mei 2018 | 2:57pm

EXCO Pulau Pinang boleh ditukar

GEORGETOWN: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) Pulau Pinang boleh ditukar sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata di dalam sistem berparlimen dan kabinet, ketua eksekutif yang dilantik mempunyai kuasa menukar barisan EXCO jika terdapat keperluan.

Bagaimanapun, katanya, tiada keperluan berbuat demikian ketika ini, tetapi barisan EXCO negeri yang baharu dilantik akan dipantau prestasi mereka dari semasa ke semasa.

"Jika ada keperluan pertukaran boleh dibuat, tetapi saya bukan kata ia diperlukan sekarang.

"Lebih baik kita fokus kepada EXCO yang sudah dilantik, kita akan lihat dan pantau prestasi mereka," katanya pada sidang media selepas meninjau Lebuh Campbell di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PKR negeri mempertikai pembahagian jawatan EXCO Pulau Pinang yang dianggap tidak mencerminkan kedudukan parti apabila barisannya dikuasai DAP.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin dipetik berkata, DAP yang menang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat jawatan Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri II dan enam EXCO.

PKR yang menang 14 kerusi DUN hanya mendapat jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan dua EXCO, manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang masing-masing menang dua kerusi tidak mendapat sebarang jawatan EXCO.

Kon Yeow berkata, pihaknya maklum isu yang dibangkitkan Norlela, namun mempertahankan kaedah pembahagian jawatan yang sudah digunapakai sejak 10 tahun lalu itu.

"Kaedah pembahagian ini adalah bagi meneruskan status quo yang diterapkan pada barisan EXCO yang sudah dilaksanakan sejak dua penggal lalu.

"Barisan EXCO sudah dilantik dan lebih baik kita fokus memberi perkhidmatan kepada rakyat yang terus memilih kita pada 9 Mei lalu," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (dua dari kanah) dalam sidang media ketika hadir lawatan kerja di Pasar Lebuh Campbell. - Foto Mikail Ong
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (dua dari kanah) dalam sidang media ketika hadir lawatan kerja di Pasar Lebuh Campbell. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X