Jumaat, 18 Mei 2018 | 4:06pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin (kanan) berbincang dengan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon sebelum bersambung sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin (kanan) berbincang dengan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon sebelum bersambung sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

'Lantikan Exco Pulau Pinang ikut formula 10 tahun lalu'

GEORGETOWN: PKR Pulau Pinang mempertahankan kenyataan wakil rakyatnya, Dr Norlela Ariffin, semalam, berhubung pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pulau Pinang, yang dilihat tidak seimbang.

Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman, berkata kenyataan Dr Norlela, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu adalah tepat.

Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, berkata pembahagian jawatan EXCO sepatutnya dibuat secara adil di antara parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH).

"Apa yang dinyatakan Dr Norlela adalah tepat dan saya sokong. Kami juga mahu lebih ramai wakil PKR dalam pentadbiran kerajaan negeri, kerana kami turut menyumbang kepada kemenangan pada pilihan raya lalu.

"Saya sendiri turut menyatakan untuk menambah wakil PKR dalam senarai EXCO, namun cadangan itu ditolak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Norlela, semalam, yang menyarankan DAP tidak tamak dalam pelantikan barisan EXCO negeri.

Ia susulan keputusan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang hanya melantik lima muka baharu sebagai EXCO, dan mengekalkan lima lagi EXCO terdahulu.

Mengikut pecahan, jawatan Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri 2 dan enam EXCO diisi ADUN DAP; manakala PKR hanya menerima tiga lantikan EXCO, temasuk jawatan Timbalan Ketua Menteri 1.

Bagaimanapun, tiada wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dilantik sebagai EXCO dalam senarai baharu pentadbiran kerajaan negeri itu.

Sementara itu, DAP negeri menafikan bersikap tamak dan berat sebelah dalam pelantikan barisan EXCO Pulau Pinang.

Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, berkata pemilihan EXCO adalah dibuat atas budi bicara Kon Yeow sepenuhnya, selain mengikut formula sama seperti 10 tahun lalu.

"Tiada isu pun sebenarnya kerana kita hanya guna formula sedia ada, sama seperti pentadbiran kita semasa 10 tahun lalu.

"Kita juga perlu lihat isu lantikan ini secara keseluruhan kerana kerajaan negeri juga ada jawatan lain seperti Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang hanya dipilih daripada wakil PKR," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, PH Pulau Pinang memenangi 37 kerusi DUN, dengan DAP menang semua 19 kerusi, PKR (14), PPBM dan AMANAH masing-masing hanya dua kerusi DUN.

Berita Harian X