Selasa, 15 Mei 2018 | 4:18pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninggalkan perkarangan Lobi Utama Hospital Rehabilitasi Cheras. - Foto Asyraf Hamzah
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninggalkan perkarangan Lobi Utama Hospital Rehabilitasi Cheras. - Foto Asyraf Hamzah

Tidak terburu-buru lantik Anwar sebagai PM - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Peralihan kuasa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri tidak akan dibuat terburu-buru sebaliknya masih mengikut perancangan asal pada pertengahan penggal di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata ketika ini kerajaan di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan berusaha untuk memastikan kelancaran proses memajukan negara.

"Memang kita akan majukan kerajaan di bawah Tun (Dr Mahathir) ini berjalan lancar dan beri perubahan seperti yang kita inginkan terutamanya reformasi untuk kita ketengahkan bersama.

"Tak...(terburu-buru melantik Anwar sebagai perdana menteri) sebab memang itulah salah satu daripada apa yang kita dah rancang," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Anwar di Hospital Rehabilitasi Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, yang mengingatkan kerajaan supaya tidak melantik Anwar sebagai perdana menteri serta- merta sejurus beliau kembali ke parlimen.

Daim dipetik berkata, tindakan untuk menukar perdana menteri sekarang adalah sesuatu yang kurang bijak kerana sebarang peralihan kuasa sepatutnya berlaku pada pertengahan penggal.

Dr Wan Azizah berkata, kesihatan Anwar semakin pulih menjelang hari pembebasannya yang dijangka esok.

Bekas timbalan perdana menteri itu dihukum penjara lima tahun pada 2015 bagi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, yang didakwa penyokongnya sebagai bermotifkan politik.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, bersetuju memberi pengampunan dan pembebasan serta-merta kepada Anwar yang bakal dimuktamadkan selepas baginda mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan di Istana Negara jam 11 pagi esok.

Dr Mahathir sebelum ini berjanji akan kekal sebagai perdana menteri selama dua tahun sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar, manakala isteri Anwar, Dr Wan Azizah ketika ini dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Berita Harian X