Sabtu, 12 Mei 2018 | 7:10pm
CHOW Kon Yeow dikatakan bakal dinamakan bagi jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang. - Foto Danial Saad
CHOW Kon Yeow dikatakan bakal dinamakan bagi jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang. - Foto Danial Saad

Kon Yeow bakal Ketua Menteri Pulau Pinang?

GEORGETOWN: Ahli Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow dikatakan bakal dinamakan bagi jawatan Ketua Menteri selepas penyandangnya, Lim Guan Eng, diumumkan menganggotai barisan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai Menteri Kewangan.

Sumber berkata, ia dikukuhkan lagi dengan desas-desus menyatakan hanya nama Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu disebut sebagai pengganti bagi jawatan berkenaan.

"Selain itu, faktor penerimaan Kon Yeow dalam kalangan kepemimpinan komponen parti dalam PH juga memainkan peranan penting dalam menentukan pemilihannya bagi jawatan berkenaan.

"Ia (pemilihan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri) sudah hampir pasti... beliau juga sudah direstui menjadi Ketua Menteri yang seterusnya," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Semalam, jemputan rasmi Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah bagi jawatan Ketua Menteri diedarkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus dengan upacara berkenaan dijadual berlangsung di hadapan Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pada jam 10 pagi Isnin ini.

Sebelum ini, Guan Eng, memaklumkan Kon Yeow berkemungkinan mengisi jawatan Ketua Menteri, jika Ahli Parlimen Bagan itu dipenjara ekoran kes rasuah yang dihadapi ketika ini, selain pendirian itu juga kerap diulangi dalam beberapa siri ceramah DAP, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, Kon Yeow juga direkodkan sebagai individu paling kanan dalam kepemimpinan DAP negeri dan muncul sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang sejak 5 Disember 1999, selain konvensyen parti itu turut mengiktiraf beliau bagi mengisi jawatan Ketua Menteri.

Sementara itu, Kon Yeow yang juga penyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas dakwaan beliau bakal dilantik Ketua Menteri.

"Barisan EXCO kerajaan negeri akan diumumkan kira-kira dua hari selepas acara berkenaan (Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah bagi jawatan Ketua Menteri) selesai dijalankan," katanya.

Berita Harian X