Jumaat, 11 Mei 2018 | 4:28pm
KETUA Pemuda UMNO Terengganu, Mohd Johari Abu. - Foto NSTP
KETUA Pemuda UMNO Terengganu, Mohd Johari Abu. - Foto NSTP

Beri laluan pelapis baharu terajui parti - Pemuda UMNO Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pemuda UMNO Terengganu mendesak Datuk Seri Najib Razak memberi laluan kepada pelapis baharu untuk menerajui parti itu.

Ketuanya, Mohd Johari Abu Bakar, berkata kepemimpinan baharu oleh generasi muda adalah perlu bagi memastikan kelangsungan UMNO pada masa depan.

Beliau berkata, transformasi menyeluruh harus dilaksanakan supaya parti itu dilihat lebih segar dengan kepemimpinan baharu dan bangkit berjuang seiring kehendak rakyat Malaysia.

"Permulaan baharu untuk Malaysia, suara rakyat sudah memilih perubahan yang cukup jelas dan nyata.

"Kekalahan ini adalah mesej jelas daripada rakyat bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bermuhasabah sedalam-dalamnya sebelum membuka langkah ke hadapan.

"Menuju ke hadapan, kita perlu menjadi gerakan politik lebih baik dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan lain kerana rakyat serta ahli akar umbi adalah denyut nadi kita," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, BN perlu kembali melihat ke hadapan serta membuat pembaharuan lebih berkesan dan pada masa sama, menjadi pembangkang hebat dan berbisa.

Berita Harian X