Ahad, 6 Mei 2018 | 8:54pm
TIMBALAN Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming.
TIMBALAN Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming.

Klip video DAP peralat Dr Mahathir tersebar

IPOH: Satu klip video ceramah Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming, yang mencetuskan kontroversi mulai viral di media sosial, sejak malam tadi.

Klip video berdurasi 1 minit 53 saat itu dimuat naik akaun Facebook digelar 'Gerak Perak' menunjukkan Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berceramah dalam bahasa Cina dan ada terjemahan bahasa Melayu di bawahnya.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan tempat, masa dan tarikh ucapan itu dilakukan.

Berdasarkan terjemahan berkenaan, Kor Ming mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan hidup lama dan memberi mesej DAP menggunakan bantuan calon Parlimen Langkawi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kor Ming dikatakan memberitahu hadirin, selepas mempergunakan Dr Mahathir, calon Parlimen Langkawi itu boleh 'pergi' menyertai bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, bermain mahjong di dunia lain.

Beliau turut menyanyikan serangkap lagu dipetik daripada lagu klasik Cina 'Goodbye My Love' bagi mengiringi 'pemergian' Dr Mahathir selepas dipergunakan.

"Lee Kuan Yew umur 91 tahun pun dah naik syurga main mahjong, tapi selalu kurang satu pemain, dia (mahu) bawa 'kawan lama' (Mahathir) dia dekat atas, (tetapi) orang tu pula tak sanggup naik sebab ada satu lagi benda tak siap, kena 'potong' (tumbangkan) (Datuk Seri) Najib (Razak).

"Jadi, kita kena tolong dia, 'orang tua' ni, lepas dia dah siap benda, mungkin lepas tu 'goodbye my love', kekasihku selamat tinggal," katanya sambil meminta semua hadirin jangan bertepuk tangan dulu, sebaliknya mendoakan Dr Mahathir tidak mati dulu sehingga tugasannya selesai.

Beliau yang dilihat menunjukkan paparan wajah Dr Mahathir di belakangnya ketika berceramah juga didakwa berkata, kini Dr Mahathir membantu Lim Kit Siang untuk menjatuhkan BN.

"Sekarang ni (Dr) Mahathir tolong Kit Siang jatuhkan BN, berjalan seiring.

"Kita percaya kali ini adalah untuk 'anak muda' kita ini Mahathir, konsert perpisahan dia, betul lah tu," katanya seperti dalam terjemahan berkenaan.

Berita Harian X