Jumaat, 4 Mei 2018 | 4:10pm
PENGERUSI BN Sabah, Tan Sri Musa Aman (lima dari kanan) menyerahkan bendera BN kepada bekas Ketua Cabang PKR Batu Sapi, Mustafah Talib (tiga dari kiri) dan bekas Ketua Bahagian HARAPAN RAKYAT Batu Sapi, Basri Ibrahim selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Pusat Islam Libaran, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PENGERUSI BN Sabah, Tan Sri Musa Aman (lima dari kanan) menyerahkan bendera BN kepada bekas Ketua Cabang PKR Batu Sapi, Mustafah Talib (tiga dari kiri) dan bekas Ketua Bahagian HARAPAN RAKYAT Batu Sapi, Basri Ibrahim selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Pusat Islam Libaran, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Tak sanggup derhaka kepada ibu, ahli PKR sertai BN

SANDAKAN: Selain hilang kepercayaan terhadap pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR), rayuan ibu menyebabkan bekas Ketua Cabang PKR Batu Sapi, Mustafah Talib keluar parti.

Mustafah yang disertai kira-kira 1,000 ahli menyerahkan borang menyertai Barisan Nasional (BN) dalam pertemuan dengan Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Pusat Islam Libaran di Sungai Kayu, hari ini.

Mustafah berkata, ibunya yang juga Ketua Cawangan UMNO di Batu Sapi, Armah Abdul sering memujuknya untuk kembali ke pangkuan BN selepas keluar UMNO pada 2016 kerana mahu mengikut jejak langkah pemimpin WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagaimanapun, katanya, dia hilang kepercayaan terhadap pemimpin WARISAN yang menjadi idolanya serta Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew kerana hanya mementingkan diri sendiri, terutama dalam soal pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Saya tak sanggup derhaka kepada ibu kerana dia sudah berulang kali memujuk dan merayu sehingga menitiskan air mata, lagi pun BN terutama Ketua Menteri yang banyak berjasa kepada keluarga saya.

"Selain itu, saya hilang kepercayaan terhadap presiden WARISAN dan Pengerusi PKR Sabah.

"Dulu Shafie pernah jadi idola saya, namun baru setahun jadi pembangkang, beliau hilang pertimbangan, tiada lagi semangat menghormati dalam parti dan kerjasama apabila membolot semua kerusi," katanya.

Mustafah berkata, dia meninggalkan UMNO sebelum ini kerana kecewa dan tanda protes apabila Mohd Shafie dipecat daripada jawatan menteri kanan dan kembali semula kepada BN selepas tidak lagi sehaluan dengan pemimpin berkenaan.

Selain Mustafah, turut mengisytiharkan keluar parti bagi menyertai BN adalah Ketua Bahagian Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT) Batu Sapi yang juga Ahli Majlis Tertinggi HARAPAN RAKYAT, Basri Ibrahim bersama 1,200 ahli.

Basri berkata, mereka memilih menyertai BN kerana mahu berada di bawah kepemimpinan Musa yang disifatkan berada di landasan betul.

Berita Harian X