Jumaat, 4 Mei 2018 | 3:22pm
MUSA (lima dari kanan) menyerahkan bendera BN kepada bekas Ketua Cabang PKR Batu Sapi, Mustafah Talib (tiga dari kiri) dan bekas Ketua Bahagian HARAPAN RAKYAT Batu Sapi, Basri Ibrahim selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Pusat Islam Libaran, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
MUSA (lima dari kanan) menyerahkan bendera BN kepada bekas Ketua Cabang PKR Batu Sapi, Mustafah Talib (tiga dari kiri) dan bekas Ketua Bahagian HARAPAN RAKYAT Batu Sapi, Basri Ibrahim selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Pusat Islam Libaran, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Musa yakin BN Sabah dapat mandat semula

SANDAKAN: Perpecahan pembangkang di Sabah diyakini mampu memberi kejayaan besar kepada Barisan Nasional (BN) Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang cuma berbaki empat hari, sekali gus diberi mandat baharu oleh rakyat.

Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata berdasarkan lawatannya ke seluruh negeri, sambutan rakyat kepada BN juga sangat baik dan memberi jaminan akan terus menyokong kerajaan sedia ada yang memiliki rekod baik dalam pentadbiran.

Katanya, ramai ahli dan pemimpin pembangkang di seluruh negeri, khususnya Parti Warisan Sabah (WARISAN) keluar parti kerana mula sedar perjuangan pembangkang tidak ikhlas.

"Dalam lawatan saya ke daerah lain di Pulau Banggi, Tandek, Matunggong di Kudat semalam, ramai ahli dan pemimpin pembangkang, khususnya dari WARISAN keluar parti.

"Mereka mula sedar bahawa yang ada bukti (kejayaan mentadbir negeri) adalah (kerajaan) BN.

"Saya berterima kasih kerana mereka kembali ke pangkal jalan, Insya-Allah kita akan memperoleh kejayaan besar pada pilihan raya ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Pusat Islam Libaran di sini, hari ini.

MUSA menerima cenderahati daripada Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk James Wong selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Pusat Islam Libaran, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
MUSA menerima cenderahati daripada Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk James Wong selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Pusat Islam Libaran, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Yusuf Abd Abas.

Musa yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, berkata beliau percaya pengundi dapat menilai kebaikan kerajaan dan membuat pilihan tepat untuk memastikan BN meneruskan perjuangan membangunkan negeri ini.

Katanya, banyak kemajuan dan perubahan landskap di negeri ini hasil perjuangan BN yang memberi manfaat kepada rakyat dalam pelbagai aspek.

"Kita dapat bangunkan pelbagai prasarana, infrastruktur, hab pendidikan dan sebagainya kerana adanya kestabilan politik, kerjasama semua pihak dan persefahaman yang terjalin antara pelbagai kaum, agama dan budaya," katanya.

Mengenai kompleks pusat Islam itu, Musa berkata, ia antara hasratnya dalam membangunkan negeri ini secara menyeluruh meliputi aspek fizikal dan kerohanian.

Apabila siap nanti, katanya, pusat Islam itu yang dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk dewan dan masjid bukan saja menjadi simbol keagungan Islam, malah sebagai pusat menyebarkan syiar Islam di negeri ini.

Berita Harian X