X
Selasa, 1 Mei 2018 | 5:31pm
PEGAWAI Pengurus SPR Langkawi, Muhamad Arof Darus (dua dari kanan) mengumumkan calon bagi Parlimen Langkawi, (dari kanan) Datuk Nawawi Ahmad, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Zubir Ahmad (PAS), selepas menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon sempena PRU-14 di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Langkawi, Kuah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PEGAWAI Pengurus SPR Langkawi, Muhamad Arof Darus (dua dari kanan) mengumumkan calon bagi Parlimen Langkawi, (dari kanan) Datuk Nawawi Ahmad, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Zubir Ahmad (PAS), selepas menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon sempena PRU-14 di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Langkawi, Kuah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

DAP, PKR hanya perkudakan Dr Mahathir - Nawawi

ALOR SETAR: Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, membidas DAP dan PKR kerana 'memperkudakan' Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meraih sokongan pengundi Melayu di pulau itu.

Sambil melahirkan simpati kepada pencabarnya itu, Nawawi berkata, Dr Mahathir dipergunakan dua parti berkenaan sebagai alat mencapai cita-cita politik mereka selepas gagal mendapat sokongan pengundi Melayu sebelum ini.

Justeru, katanya, pengundi Melayu perlu menyedari setiap undi diberikan kepada Dr Mahathir secara tidak langsung juga menyumbang peningkatan undi untuk DAP dan PKR.

"Kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan 42,700 pengundi di Langkawi ialah Melayu. Justeru, PKR dan DAP sengaja menggunakan Dr Mahathir untuk mendapatkan undi Melayu," katanya kepada media di ibu pejabat UMNO Kedah, hari ini.

Nawawi berkata, pengundi juga diseru tidak terpengaruh dengan permainan sentimen pembangkang kononnya undi kepada Dr Mahathir sebagai tanda membalas budi beliau di Langkawi.

Nawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi berkata, hakikatnya ada cara lain untuk menyatakan penghargaan mereka, dan bukan dengan memperjudikan nasib serta masa depan penduduk di pulau pelancongan itu.

"Saya meminta pengundi supaya tidak terperangkap dengan sentimen terhutang budi kepada Dr Mahathir kerana jasa beliau di Langkawi adalah atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu dan bukan sumbangan peribadi.

"Jika betul mahu berterima kasih, memang boleh tetapi bukan dengan undi. Antara berterima kasih dengan undi adalah dua perkara berbeza. Undi adalah untuk masa depan penduduk dan pembangunan pelancongan di Langkawi.

"Mereka boleh menterjemahkan terima kasih itu dengan mendoakan kesihatan Dr Mahathir atau bersalaman dengan beliau," katanya.

Mengulas lanjut, Nawawi berkata, pengundi di Langkawi memerlukan wakil rakyat dalam kalangan anak tempatan dan bukan pemimpin yang hanya datang bercuti sebulan sekali di pulau itu.

Katanya, ia berbeza dengan BN mengetengahkan calon tempatan di ketiga-tiga kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dapat bersama rakyat setiap masa.

"Pengundi tidak perlu memilih orang luar yang hanya datang bercuti dan tidak ada rumah di Langkawi, berbanding kami menetap di sini serta memudahkan urusan dengan rakyat," katanya.

Beliau berkata, pengundi di Langkawi beruntung kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, amat prihatin terhadap pulau itu, malah memberikan peruntukan besar hingga RM1.6 bilion.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Nawawi berdepan pertandingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Langkawi apabila Dr Mahathir sah bertanding atas tiket PKR, selain calon PAS, Zubir Ahmad.

Nawawi memenangi kerusi itu pada PRU-13 apabila menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah, dan calon Bebas, Marina Hussein, dengan majoriti 11,861 undi.

Berita Harian X