Isnin, 30 April 2018 | 2:04pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia, Batu Sapi, di Sandakan. - Foto Edmund Samunting
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia, Batu Sapi, di Sandakan. - Foto Edmund Samunting

Tolak pemimpin berpaling tadah: Musa Aman

SANDAKAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman yakin pengundi akan menolak bekas pemimpin parti itu yang berpaling tadah dengan menyertai pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Musa yang juga Ketua Menteri berkata, beliau percaya rakyat negeri ini sedar parti pembangkang tidak mampu membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat, sebaliknya hanya berjuang demi kepentingan peribadi.

Beliau memberi contoh, pemimpin utama Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak pernah berbudi kepada rakyat negeri ini ketika memegang jawatan penting dan hanya datang ke Sandakan, mengaku sebagai `wira' apabila sudah tidak berkuasa.

Oleh itu, katanya, ramai ahli parti itu keluar untuk menyertai Barisan Nasional (BN) selepas sedar tiada guna menyokong pembangkang, terutama WARISAN.

"Dia khianat kepada pemimpin dan parti. Itu bukan 'hero' namanya, itu adalah pengkhianat. Begitu juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong (Arifin Asgali dari WARISAN) yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua UMNO Batu Sapi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia di Batu Sapi di sini, yang dirasmikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi.

Musa yang juga calon BN bagi kerusi DUN Sungai Sibuga di bawah Parlimen Libaran berkata, calon WARISAN yang bertanding di Parlimen Batu Sapi pada pilihan raya kali ini iaitu Datuk Liew Vui Keong pernah ditolak rakyat Sandakan pada PRU-13.

Katanya, beliau percaya rakyat Batu Sapi akan memilih parti yang mampu membawa kebaikan kepada rakyat pada PRU-14, 9 Mei nanti.

"Siapa tidak kenal VK Liew? Dia ditolak oleh warga Sandakan dan sekarang sudah kalah, mahu pergi Batu Sapi lagi. Namun saya percaya orang Batu Sapi, orang Sabah pandai memilih," katanya.

Berita Harian X