Isnin, 23 April 2018 | 12:56pm
DATUK Seri Mustapa Mohamed bersama barisan kepemimpinan BN mengadakan sidang media sebelum mengumumkan calon-calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di bangunan UMNO negeri, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
DATUK Seri Mustapa Mohamed bersama barisan kepemimpinan BN mengadakan sidang media sebelum mengumumkan calon-calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di bangunan UMNO negeri, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

BN Kelantan tampil calon pilihan terbaik

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan menyifatkan calon ditampilkan parti adalah pilihan terbaik bagi mencapai kemenangan di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata calon dipilih merangkumi kepemimpinan politik; wakil Wanita, Pemuda dan Puteri; pegawai swasta dan kerajaan; golongan agama serta pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, senarai peringkat Parlimen meliputi dua muka baharu, termasuk seorang calon muda.

"Pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), 28 muka baharu (62 peratus) ditampilkan, termasuk lapan calon muda. Lima wanita juga dicalon membabitkan empat muka baharu.

"Senarai calon ini adalah hasil input pelbagai pihak, termasuk ketua UMNO bahagian, ketua parti komponen, pihak kerajaan dan NGO.

"Keputusan akhir dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak," katanya pada sidang media di bangunan UMNO di sini, hari ini.

Beliau akan mengumumkan senarai nama calon PRU-14 di hadapan kepemimpinan dan ahli UMNO, sebentar lagi.

Mustapa turut berkeyakinan calon dipilih bukan sahaja mampu menang, malah dapat melaksanakan amanah dengan baik sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

"Gandingan mereka yang berpengalaman dengan golongan muda dan bertenaga ini akan memberi nafas baharu untuk memastikan BN Kelantan kekal relevan.

"Kesemua penyandang kerusi Parlimen dikekalkan. Bagi kerusi DUN, hampir kesemua penyandang kekal atau dipindahkan ke kerusi Parlimen, kecuali Datuk Nozula Mat Diah (DUN Paloh).

"Kita berterima kasih kepada Datuk Nozula atas sumbangan baktinya selama 28 tahun sebagai ADUN Paloh," katanya.

Pada masa sama, Mustapa berharap calon tidak terpilih supaya terus membantu parti bagi memastikan kemenangan pada PRU-14.

"Kita faham akan ada yang kecewa apabila nama tidak disenaraikan, namun jangan meletakkan kepentingan peribadi melebihi parti kerana ia boleh menjejaskan prestasi BN," katanya.

Berita Harian X