Khamis, 19 April 2018 | 7:40pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. - Foto Hafiz Sohaimi
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. - Foto Hafiz Sohaimi

Pakatan pembangkang ibarat rakan sekatil yang pelik

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menyifatkan pemimpin pakatan pembangkang daripada PKR, DAP dan PPBM sebagai rakan sekatil yang sungguh pelik.

Merujuk kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Pengerusi PPBM yang dibubar sementara, Tun Dr Mahathir Mohamad, Salleh berkata sebelum ini mereka bermati-matian ingin menghapuskan satu sama lain, 'hinggakan kepentingan politik pun tidak boleh menjadi alasan untuk mereka bekerjasama'.

"Lebih teruk lagi apabila mereka memberi alasan yang lemah untuk menjelaskan dan mewajarkan pakatan mereka itu. Pada suatu ketika, Anwar, Wan Azizah dan Kit Siang menentang Dr Mahathir atas alasan mereka perlu menyelamatkan Malaysia.

"Sekarang, mereka bersekutu pula dengan Dr Mahathir atas alasan sama iaitu untuk menyelamatkan Malaysia," katanya melalui catatan terbaru beliau di laman blognya hari ini.

Salleh, yang juga Bendahari UMNO, berkata rakyat Malaysia tidak seharusnya lupa bahawa pada tahun 1993, Kit Siang mengutuk Anwar (menteri kewangan ketika itu) dan menuntut ketua umum PKR itu meletakkan jawatan serta menuduhnya bercakap bohong di Parlimen.

"Kemudian beliau bekerjasama pula dengan Anwar dan berkata jika pembangkang berkuasa, mereka akan memastikan Dr Mahathir dihukum kerana jenayah yang dilakukannya.

"Tetapi, sekarang, beliau bekerjasama dengan Dr Mahathir," katanya sambil menegaskan bahawa perkara itu membuktikan dengan jelas bahawa pakatan pembangkang "menjalin ikatan semata-mata untuk kesenangan", dengan masing-masing mempunyai agenda sendiri.

Salleh berkata, pakatan itu bukan berjuang untuk kepentingan negara, tetapi untuk mendapatkan kuasa politik.

"Pakatan pembangkang itu tidak akan kekal lama dan sekiranya mereka berkuasa, negara akan menderita. Inilah hakikat sebenar tentang pakatan pembangkang itu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X