Rabu, 18 April 2018 | 8:46pm
MAHDZIR diiringi Pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid Zakaria Osman pada Lawatan Kerja ke Kolej Sultan Abdul Hamid hari ini. - Foto BERNAMA
MAHDZIR diiringi Pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid Zakaria Osman pada Lawatan Kerja ke Kolej Sultan Abdul Hamid hari ini. - Foto BERNAMA

DAP adalah 'abang besar' dalam pakatan

ALOR SETAR: Pengumuman DAP bahawa Nga Kor Ming, calonnya di Parlimen Teluk Intan akan dijadikan Menteri Kabinet jika pakatan pembangkang dapat menguasai Putrajaya, jelas menunjukkan siapa 'abang besar' dalam gabungan itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pengumuman oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam bahawa Kor Ming akan dilantik menteri jika menang kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah bukti jelas DAP menguasai pakatan itu.

Mahdzir mendakwa, pengumuman Guan Eng itu juga mengesahkan kenyataan beliau sebelum ini yang pemimpin Melayu dalam gabungan pembangkang yang dianggotai oleh DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) hanyalah alat kepada DAP untuk mencapai cita-cita menguasai politik negara.

"Dari awal lagi saya sudah katakan, Pakatan Harapan (pakatan pembangkang) ini dikuasai oleh DAP dan Tun Dr Mahathir Mohamad hanyalah digunakan sebagai alat dengan dicalonkan sebagai perdana menteri.

"Sebab itulah Lim Guan Eng boleh umumkan kalau Pakatan Harapan berjaya menang di peringkat kerajaan pusat, Nga (Kor Ming) boleh jadi menteri, sedangkan sepatutnya ia diumumkan oleh perdana menteri yang dicalonkan mereka," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Kolej Sultan Abdul Hamid, hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan mendakwa, penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng akan peralatkan sesiapa sahaja untuk mencapai impian menguasai politik negara ini.

"Tidak kiralah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu, dan Tun Mahathir.

"DAP menggunakan pemimpin-pemimpin ini untuk menguasai politik negara dan Kit Siang telah berjuang sejak tahun 1965 dan dia berharap suatu hari nanti DAP boleh membentuk kerajaan (Persekutuan)," dakwanya lagi.

Mengenai keputusan gabungan pembangkang menggunakan logo PKR dalam PRU-14, Mahdzir mendakwa gabungan pembangkang berharap untuk mengelirukan orang Melayu bagi mendapatkan undi.

"Bila tidak bertanding atas lambang Roket (simbol rasmi DAP), mereka berharap orang Melayu akan keliru dan mengundi PKR, ...inilah yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin Melayu yang menjadi boneka DAP dalam gabungan pembangkang," katanya.

Mahdzir berkata demikian ketika mengulas pengumuman Guan Eng semalam yang Kor Ming akan dilantik sebagai menteri jika gabungan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada PRU-14.

Sebuah portal berita melaporkan Guan Eng sebagai berjanji Kor Ming akan dilantik sebagai Menteri jika berjaya menewaskan penyandang kerusi Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong, yang juga Menteri Perladangan dan Industri.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014, Siew Keong yang juga Presiden Gerakan menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya dari DAP, Seah Leong Peng.

Biarpun Siew Keong masih belum diumumkan sebagai calon BN untuk PRU-14, difahamkan beliau akan dipilih untuk mempertahankan kerusi itu.

Berita Harian X