Sabtu, 10 March 2018 | 12:18pm

BN akan tampil manifesto mesra orang muda - PM

MUAR: Perdana Menteri bersetuju untuk menampilkan manifesto Barisan Nasional (BN) yang mesra orang muda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sekali gus membuktikan parti itu menganggap generasi muda sebagai aset penting negara.

Datuk Seri Najib Razak, berkata langkah itu dilakukan kerana BN amat serius membangunkan keperluan generasi muda negara berbanding pembangkang.

Katanya, BN mempunyai perancangan jelas dan teratur untuk masa depan generasi muda negara jika diberi mandat pada PRU nanti.

"Saya bersetuju dengan Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda BN) supaya memasukkan bab khusus untuk generasi muda Pemuda dan Puteri dalam manifesto BN.

"Kita akan fikir tentang ilmu dan kemahiran, gaji dan pendapatan, peluang pekerjaan, tempat tinggal serta gaya hidup orang muda, semuanya kita akan masukkan dalam manifesto BN.

"Kita (BN) mahu lihat masa depan generasi muda kita yang jauh lebih baik. Kita bukan parti untuk hari ini saja, malah untuk masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri Barisan Nasional (BN) Peringkat Kebangsaan di di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pagoh, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Naib Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak hadir disebabkan masalah kesihatan dan dimasukkan ke wad sejak semalam.

Pada pelancaran berkenaan, lebih 10,000 ahli Pemuda dan Puteri UMNO hadir sebagai simbolik untuk menunjukkan kesiapsiagaan jentera sayap parti itu menyahut gendang perang PRU-14.

Sementara itu, Najib menyifatkan pembangkang sebagai tidak ikhlas dalam memperkasakan generasi muda negara.

"Ada pemimpin pembangkang ketika berucap melancarkan manifesto mereka kata tidak kisah masa depan. Ini bukan mesej anak muda, sebaliknya BN yang mendukung generasi hari ini dan masa depan," katanya.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordinpada majlis perasmian Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri Barisan Nasional Peringkat Kebangsaan di IKTBN Pagoh. - Foto Asyraf Hamzah
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordinpada majlis perasmian Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri Barisan Nasional Peringkat Kebangsaan di IKTBN Pagoh. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X