Sabtu, 3 Februari 2018 | 11:47am

Pemilihan CEC DAP sah: ROS

Putrajaya: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada 12 November tahun lalu mematuhi syarat diarahkan jabatan itu.

ROS dalam kenyataan hari ini berkata, firma audit antarabangsa Grant Thornton yang dilantik oleh DAP sudah mengemukakan laporan penuh CEC berkenaan melalui surat bertarikh 27 November 2017.

ROS berkata pihaknya akan mengeluarkan surat makluman mengenai keputusan itu pada Isnin ini.

"Oleh itu, ROS juga bersetuju supaya laporan penuh pelaksanaan pemilihan semula itu disimpan oleh firma Grant Thornton mengikut tempoh masa wajar sepertimana keperluan perlembagaan parti," katanya.

ROS mengingatkan bahawa setiap parti dan pertubuhan berdaftar hendaklah mentadbir dan menjalankan setiap urusan mengikut kehendak Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan perlembagaan berdaftarnya.

Dalam pada itu, katanya, ROS turut menerima 17 aduan berhubung pemilihan semua CEC itu masing-masing dari Selangor,Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"Daripada 17 aduan yang diterima hanya lapan pengadu yang mempunyai maklumat lengkap dan hadir memberi keterangan berkenaan aduan yang dibuat manakala baki sembilan pengadu lagi, maklumat pengadu adalah tidak lengkap.

"Selain itu, terdapat juga pengadu yang tidak memberikan kerjasama untuk memberi keterangan. Bagaimanapun, ROS berpuas hati dengan siasatan yang dilaksanakan dan semua aduan sudah ditutup," katanya.

Pemilihan semula CEC DAP dilaksanakan pada 12 November tahun lalu di Ideal Convention Centre Shah Alam, (IDCC).

Ia dilakukan semula ekoran aduan ke atas pemilihan CEC DAP pada tahun 2012 dan pemilihan semula CEC DAP pada 29 September 2013 yang lalu.

Info

Kronologi isu CEC DAP

  • Disember 2012:

    Pemilihan Kongres Nasional DAP Ke-16 dilaksanakan untuk menentukan 20 Ahli CEC parti berkenaan. Proses pemilihan membabitkan 2,576 delegasi untuk mengundi 66 calon bagi jawatan terbabit.

  • Januari 2013:

    DAP mengakui wujud kesilapan dalam proses pengiraan undi ketika pemilihan parti. Berdasarkan pindaan keputusan, Zairil Khir Johari yang pada awalnya berada pada kedudukan 39 tiba-tiba bertukar ke kedudukan 20, iaitu slot terakhir dalam CEC. Vincent Wu pula yang berada pada kedudukan keenam jatuh pada kedudukan 26. Pengarah Pemilihan DAP, Pooi Weng Keong, menjelaskan kesilapan itu berpunca daripada kesalahan teknikal ketika keputusan berkenaan dipindah menggunakan Microsoft Excel. Weng Keong kemudian meletakkan jawatan sebagai Pengarah Pemilihan dan Ahli Jawatankuasa Wilayah Persekutuan DAP susulan kesilapan terbabit.

  • April 2013:

    ROS menunda penyiasatan berhubung pemilihan CEC DAP selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). DAP disahkan belum dibubarkan ketika itu dan boleh menggunakan simbol parti ketika PRU-13.

  • Ogos 2013:

    ROS mengarahkan DAP membuat pemilihan semula CEC secepat mungkin susulan desakan daripada ahli akar umbi. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan pemilihan semula itu akan berlangsung pada 29 September 2013.

  • 29 September 2013:

    ROS menasihatkan pemilihan semula sepatutnya dilaksanakan menerusi kongres nasional parti, namun DAP meminggirkannya dengan mengadakan pemilihan semula CEC menerusi kongres khas. Pemilihan semula diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya dan barisan kepemimpinan kekal seperti sebelum ini.

  • Disember 2013:

    Pengesahan keputusan CEC DAP tidak dikira muktamad selagi tiada laporan penuh mengenai kongres khas dan pemilihan semula dihantar kepada RoS. Konvensyen DAP Selangor meluluskan usul untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap RoS jika terus enggan mengiktiraf CEC parti berkenaan.

  • September 2014:

    DAP menggugurkan permohonan semakan semula kehakiman berhubung dakwaan kegagalan RoS mengiktiraf CEC parti berkenaan yang diadakan pada 23 September 2013.

  • 7 Julai 2017:

    DAP perlu mengadakan pemilihan semula CEC kerana mendapati pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama melalui pemilihan semula pada 29 September 2013, tidak sah dari segi undang-undang - Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah.

  • 7 Ogos 2017:

    ROS bersetuju dengan keputusan DAP memilih firma Grant Thornton, yang berpangkalan di Amerika Syarikat, bagi menggantikan PKF Consulting sebagai pemerhati proses pemilihan semula CEC.

  • 9 Oktober 2017:

    DAP bersetuju mematuhi semua 10 syarat ditetapkan ROS - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

  • 12 November 2017:

    DAP mengadakan semula pemilihan CEC menggunakan senarai perwakilan pada 2012 iaitu 2,576 perwakilan dari 865 cawangan seperti disyaratkan ROS, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

1. Lim Kit Siang - 1,199 undi (1,436)

2. Gobind Singh Deo 1,198 undi (1,409)

3. Lim Guan Eng 1,180 undi (1,304)

4. Anthony Loke Siew Fook - 1,175 undi (1,263)

5. Liew Chin Tong - 1,123 undi (1,438)

6. Teo Nie Ching - 1,080 undi (1,081)

7. Chong Chieng Jen - 1,057 undi (1,294)

8. Teresa Kok Suh Sim - 1,033 undi (1,127)

9. Tan Kok Wai - 1,021 undi (1,088)

10. Tony Pua - 1,020 undi (1,158)

11. Nga Kor Ming - 967 undi (956)

12. Fong Kui Lun - 949 undi (1,193)

13. Chow Kon Yeow - 900 undi (1,203)

14. M. Kulasegaran - 826 undi (1,088)

15. Chong Eng - 734 undi (1,111)

16. Teng Chang Khim - 702 undi (1,164)

17. Ronnie Liew - 688 undi

18. Ngeh Koo Ham - 659 undi (809)

19. Zairil Khir Johari - 649 undi (1,132)

20. V. Sivakumar - 586 undi

Jumlah kertas undi dikeluarkan: 1,346

Jumlah undi sah: 1,310 undi

Undi rosak: 36

Berita Harian X