Isnin, 8 Januari 2018 | 4:08pm
DATUK Dr Shamsul Anuar Nasarah (kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Pasir Raja hari ini. Turut hadir Ketua UMNO bahagian Dungun Datuk Din Adam (kanan).- Foto BERNAMA
DATUK Dr Shamsul Anuar Nasarah (kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Pasir Raja hari ini. Turut hadir Ketua UMNO bahagian Dungun Datuk Din Adam (kanan).- Foto BERNAMA
DATUK Dr Shamsul Anuar Nasarah (dua, kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir Cik Ku Meriam Cik Ku Din, 58, (tiga, kiri) di Kampung Pasir Raja hari ini.- Foto BERNAMA
DATUK Dr Shamsul Anuar Nasarah (dua, kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir Cik Ku Meriam Cik Ku Din, 58, (tiga, kiri) di Kampung Pasir Raja hari ini.- Foto BERNAMA

PM Pakatan Harapan didakwa jadi boneka DAP

DUNGUN: Seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO hari ini berkata sesiapa yang akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum akan datang hanya akan menjadi boneka DAP.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, situasi itu bakal terjadi berdasarkan agihan kerusi oleh PH semalam.

"Pengagihan kerusi kepada tiga lagi parti komponen PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) adalah di kawasan yang parti itu akan kalah.

"Akhirnya nanti DAP yang akan jadi parti dominan... dan jika PH menang pilihan raya umum... perdana menteri yang dilantik akan jadi boneka DAP dan mengikut saja dasar parti itu," katanya.

Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO dan Ahli Parlimen Lenggong berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada kira-kira 100 mangsa banjir di Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor bersempena Program UMNO JOM BANTU RAKYAT 2.0 di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Roslee Daud dan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Din Adam.

PH semalam menamakan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ia turut mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen akan ditandingi parti dalam pakatan, iaitu PPBM (52), PKR (51), DAP (35) dan PAN (27), keseluruhannya 165 kerusi di Semenanjung.

Shamsul Anuar turut menarik perhatian bahawa Dr Mahathir dilaporkan hanya akan menjadi perdana menteri sementara sebelum PH melantik Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaik saja dibebaskan dari penjara.

"Bayangkan jika betul, tidakkah suami isteri akan jadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri?

"Ini bukan amalan dan tidak pernah berlaku dalam negara kita. Ini bukan main-main. Kita kena pilih pemimpin yang berwibawa, yang bertaraf antarabangsa. Sebab itu tawaran Pakatan Harapan itu sama sekali tidak boleh diterima oleh rakyat," katanya. BERNAMA.

Berita Harian X