Rabu, 6 Disember 2017 | 12:09pm
KETUA Pegerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Mohd Yusni Ariffin
KETUA Pegerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Mohd Yusni Ariffin

'Tangkis sepak sumbang pembangkang'

KUALA LUMPUR: Ahli Puteri diminta bersiap sedia mempertahankan diri daripada politik tidak matang yang menyebarkan palsu sebelum semboyan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ditiup, kata Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin

"Dalam kita terus bekerja, pasang-pasangkan kekuda menangkis serangan sumbang pakatan pembangkang.

"Mereka sungguh licik dengan pelbagai dakyah. Mulut manis tetapi hatinya busuk. Yang benar didustakan, yang dusta dibenarkan.

"Puteri mesti terus bekerja dengan memanfaatkan segenap ruang dan peluang untuk berhujah secara rasional. Gunakan setiap detik yang ada untuk mendekati golongan muda dan fahami aspirasi mereka," katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, Puteri berbakti kepada semua tanpa mengira latar belakang khususnya melalui skuad Puteri Peduli dan turun padang ketika Pulau Pinang lumpuh dilanda banjir.

Katanya, ada pemimpin pembangkang menuduh Puteri mementingkan perkauman apabila memberikan tumpuan kepada kawasan diabaikan mereka.

"Hentikan politik tidak matang ini. Agaknya Lim Guan Eng lupa siapa yang dia telefon jam 3.30 pagi saat dia memohon bantuan dengan tangisan.

"Kalau pertolongan ikhlas kita ketika banjir pun disalah tafsir oleh mereka, apa lagi yang kita nak harapkan daripada politik DAP.

"Sejak merdeka hingga sekarang, sudah banyak yang berubah. Satu-satunya yang tidak berubah ialah orientasi politik DAP.

"Dari dulu sampai sekarang, mereka kekal anti-Melayu dan anti-Islam. Tidak usah beretorik panjang-panjang mengenai hal ini. Baca saja perlembagaan DAP, jelas kelihatan yang mereka perjuangkan ialah Malaysian-Malaysia.

"Malah, dalam parti roket itu dipenuhi pelampau perkauman. Bacalah saja kenyataan Nga Kor Ming yang begitu berani menghina bangsa kita," katanya.

Mas Ermieyati turut menempelak Ketua Menteri Pulau Pinang kerana bongkak dan bangga diri terhadap kerajaan negeri pimpinannya yang didakwa bangga dengan kecekapan, akauntabiliti dan bersikap telus.

"Hari ini bukan saja badan bukan kerajaan (NGO) marah akan Guan Eng tapi rakyat Pulau Pinang pun dah marah dengan Guan Eng. Bahkan, kalau pokok dan bukit boleh bercakap, mereka juga akan marah Guan Eng.

"Kita tidak dapat bayangkan bagaimana jika kita serahkan kuasa kerajaan Pusat kepada tangan orang yang semacam ini," katanya.

Berita Harian X