Khamis, 16 November 2017 | 4:11pm
BEKAS Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar, G Asoghan menunjukkan kertas undi pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, sebagai melaksanakan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) semasa sidang media berhubung surat aduan yang diserahkan kepada pejabat ROS cawangan Pulau Pinang di Wisma Persekutusan Seberang Perai Utara , Kepala Batas. - Foto Ramdzan Masiam
BEKAS Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar, G Asoghan menunjukkan kertas undi pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, sebagai melaksanakan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) semasa sidang media berhubung surat aduan yang diserahkan kepada pejabat ROS cawangan Pulau Pinang di Wisma Persekutusan Seberang Perai Utara , Kepala Batas. - Foto Ramdzan Masiam

ROS digesa siasat pemilihan semua CEC DAP

KEPALA BATAS: Pendaftar Pertubuhan (ROS) diminta menjalankan siasatan terhadap pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Ahad lalu, yang didakwa masih mempunyai unsur meragukan.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar, G Asoghan, berkata ada perwakilan tidak berpuas hati dengan pengendalian proses itu oleh firma audit antarabangsa, Grant Thornton.

Beliau mendakwa, ketika pengiraan kertas undi, tiada sebarang wakil atau ejen dibenarkan masuk melihat proses berkenaan, sekali gus memungkinkan tipu helah berlaku sekali lagi.

"Ketika proses pengundian, ada wakil tanya di mana tempat kiraan undi. Pemerhati yang dilantik DAP menyatakan mereka membuat pengiraan di sebuah bilik, namun tiada sesiapa pun dibenarkan masuk.

"Ini menyebabkan kebanyakan perwakilan tidak berpuas hati. Kita berharap ROS dapat melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

"Apatah lagi kemenangan Lim Kit Siang dan anaknya, Guan Eng diumumkan terus serta tidak boleh dipertikaikan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghantar surat aduan membantah pemilihan semula CEC di Pejabat ROS di Wisma Persekutuan, di sini, hari ini.

Asoghan berkata, keputusan untuk meletakkan Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP juga bertentangan dengan perlembagaan parti kerana beliau sudah memegang jawatan itu melebihi tiga penggal atau sembilan tahun.

"Mengikut undang-undang dan perlembagaan parti, jawatan Setiausaha Agung hanya boleh diberikan kepada orang yang sama dalam tempoh tiga penggal atau sembilan tahun sahaja.

"Bagaimanapun, kemenangan Guan Eng menyebabkan tempohnya memegang jawatan berkenaan dilanjutkan sehingga 2020, menjadikan beliau memegang jawatan terbabit selama 16 tahun sejak 2004.

"Ini secara terang-terangan melanggar perlembagaan parti," katanya.

Berita Harian X