TENOM: UMNO adalah wadah terbaik membela rakyat untuk jangka panjang berikutan amalan perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) dengan semangat kekeluargaan utuh.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebagai parti besar, UMNO sentiasa menghadapi pelbagai cabaran, namun ia diatasi menerusi semangat perpaduan kental pemimpin serta ahlinya.
"UMNO tidak membudayakan politik kebencian dan perkauman seperti yang cuba dibawa oleh pemimpin pembangkang semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.
"Segelintir pemimpin (pembangkang) yang meninggalkan UMNO cuba menabur fitnah kepada pemimpin parti kita ini kerana ingin mencapai agenda sendiri yang bukan untuk masa depan rakyat.
"Bagi memastikan UMNO terus menjadi wadah terbaik untuk rakyat, kita memerlukan sokongan semua kaum dan ini menjadi tugas sayap parti serta komponen BN bagi meyakinkan rakyat," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Zon 4 Sabah di sini, hari ini.
UMNO Zon 4 membabitkan bahagian Tenom, Keningau dan Pensiangan.
Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan meminta rakyat Sabah tidak mudah terpengaruh dengan pemimpin pembangkang yang sanggup mempolitikkan apa saja isu, termasuk berkaitan soal keselamatan.
Beliau yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas, berkata dalam soal keselamatan kerjasama baik kerajaan negeri dan Persekutuan tidak harus dipolitikkan kerana kerajaan komited memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.
"Ini bertentangan dengan agenda pembangkang yang melaungkan sentimen kenegerian dan kebencian terhadap UMNO dan BN," katanya.
Terdahulu, Pengerusi Penganjur yang juga Ketua Wanita UMNO Tenom, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan, mewakili ketiga-tiga sayap parti bahagian itu mengemukakan usul menyokong penuh kepemimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman.