Khamis, 10 Ogos 2017 | 1:30pm
Datuk Seri Musa Aman (tengah) menerima cenderamata daripada Ketua Pemuda, Rizan Aziz (kiri), Ketua Wanita UMNO Libaran, Datuk Armani Mahiruddin (dua dari kiri) dan Ketua Puteri UMNO Libaran, Karmi Ariffin (dua dari kanan) perasmian Mesyuarat Serentak Mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Libaran di Sandakan.- Foto Juzaimie Jazlan
Datuk Seri Musa Aman (tengah) menerima cenderamata daripada Ketua Pemuda, Rizan Aziz (kiri), Ketua Wanita UMNO Libaran, Datuk Armani Mahiruddin (dua dari kiri) dan Ketua Puteri UMNO Libaran, Karmi Ariffin (dua dari kanan) perasmian Mesyuarat Serentak Mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Libaran di Sandakan.- Foto Juzaimie Jazlan

Program perlu ikut cita rasa rakyat - Musa Aman

SANDAKAN: Ketiga-tiga sayap UMNO di Sabah diarah terus berkerja keras dan memperbanyakkan aktiviti bersesuaian dengan kumpulan sasar masing-masing.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata semua program yang dianjurkan perlu sesuai dengan kehendak semasa.

Pada masa sama, Musa yang juga Ketua Menteri Sabah mahu jentera sayap digerakkan dengan lebih teratur dan berkesan bagi menangkis tuduhan pembangkang dan pihak tidak bertanggungjawab yang memburukkan parti dan kepemimpinan, terutama melalui media sosial menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Ahli tidak boleh membiarkan pembangkang bermaharajalela memfitnah melalui media sosial. Kita mesti lebih proaktif dalam gerak kerja perang siber khususnya fitnah yang banyak mempengaruhi generasi muda.

"Dari sudut positif pula, media sosial perlu dimanfaatkan untuk mendekati dan menyantuni golongan muda dan pengundi baharu kerana UMNO terbukti parti yang membela nasib semua lapisan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Libaran di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Wanita UMNO Libaran, Datuk Armani Mahiruddin; Ketua Pemudanya, Rizan Aziz serta Ketua Puteri UMNO Libaran, Karmi Ariffin.

Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran berkata, UMNO bukan saja memiliki banyak kelebihan dan pengalaman, malah mempunyai ahli merangkumi semua lapisan masyarakat daripada pelbagai kategori, jantina, umur serta latar belakang.

Sehubungan itu, katanya, peluang dan kepercayaan diberi pucuk pimpinan kepada tiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri wajar dimanfaatkan sepenuhnya demi memperkasakan parti, sekali gus menjadikan UMNO pilihan terbaik dalam membela nasib rakyat Sabah.

"Inilah model perjuangan yang cuba ditiru atau diikuti oleh parti pembangkang yang turut mempunyai jentera sayap mereka," katanya.

Musa turut menyambut baik dan memberikan sokongan kepada sebarang usaha, inisiatif serta pendekatan dilaksanakan ketiga-tiga sayap parti di Libaran khususnya demi mengukuhkan kekuatan UMNO di peringkat akar umbi.

Berita Harian X