Khamis, 20 Julai 2017 | 1:14am
SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menunjukkan buku laporan palsu Ekuiti pada sidang media selepas mesyuarat CEC di Ibn Pejabat DAP. - Foto Aswadi Alias
SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menunjukkan buku laporan palsu Ekuiti pada sidang media selepas mesyuarat CEC di Ibn Pejabat DAP. - Foto Aswadi Alias

Tiada keputusan pemilihan semula CEC DAP

KUALA LUMPUR: DAP tidak memutuskan sama ada akan mematuhi arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) diadakan semula atau sebaliknya.

Selepas mesyuarat CEC malam tadi bagi membincangkan surat ROS yang mengarahkan perkara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, hanya menyatakan partinya menolak dua justifikasi ROS dalam arahan itu.

Guan Eng berkata justifikasi ROS itu tidak berasas dan berdasarkan laporan palsu, sekali gus mahu satu pertemuan dengan ROS diadakan secepat mungkin bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara terbabit.

"Ada beberapa pilihan untuk DAP ketika ini, antaranya mengadakan pemilihan semula dalam keadaan protes atau mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan ROS.

"Ketika ini, kami sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan ROS namun sehingga kini tidak berjaya.

"Kami harap ROS akan bersikap profesional dan bertanggungjawab untuk bertemu kami secepat mungkin atas dasar keadilan," katanya membacakan kenyataan pada sidang media selepas mesyuarat CEC bagi membincangkan kandungan surat diberikan ROS di ibu pejabat DAP di sini, malam tadi.

Isnin lalu, DAP menerima surat daripada ROS yang mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC dan diberi tempoh 14 hari untuk memberi maklum balas rasmi kepada pihaknya.

Arahan itu dikeluarkan berikutan ROS masih belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan oleh DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

Selepas sidang media itu, Guan Eng enggan menerima sebarang soalan daripada media.

Namun, selepas ditanya beberapa kali, termasuklah mengenai dakwaan mengatakan ROS enggan berjumpa DAP, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke, menjelaskan pihaknya cuba mengatur pertemuan sejak Isnin, namun ROS enggan berjumpa mereka.

Terdahulu, Guan Eng berkata, justifikasi ROS yang ditolak DAP adalah apabila agensi itu mendakwa ada perwakilan yang layak untuk pemilihan semula CEC pada tahun 2013, dinafikan hak mereka untuk mengundi.

"Ini tidak benar. Jumlah perwakilan yang layak semasa pemilihan semula CEC pada 2013 adalah sama ketika 2012 dan ini disahkan oleh juruaudit bebas," katanya.

Guan Eng turut mendakwa, justifikasi ROS mengatakan wujud percanggahan antara jumlah perwakilan yang layak semasa CEC 2012 iaitu 865 cawangan serta 985 ketika pemilihan semula pada 2013 sebagai tidak benar.

"Ada 751 cawangan yang layak pada 2012 dan kesemuanya, termasuk 2,576 perwakilan dimaklumkan pada tahun 2013.

"Memang ada 985 cawangan DAP pada 2013, namun hanya 751 cawangan yang layak mengundi pada pemilihan semula tahun 2013.

"Tidak pernah wujud jumlah 865 cawangan yang layak pada pemilihan CEC 2012, angka itu hanya wujud dalam laporan palsu bertajuk 'Laporan Ekuiti: Penipuan Pemilihan CEC' oleh individu tidak wujud bernama 'Father Augustus Chen'," katanya.

Berita Harian X