Selasa, 18 Julai 2017 | 5:29pm
DATUK Mohamad Daud Mohamad Yussof.
DATUK Mohamad Daud Mohamad Yussof.

ADUN Selama tak mahu tanding lagi

SELAMA: Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak menyatakan hasrat tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Datuk Mohamad Daud Mohamad Yussof, 57, yang menjadi ADUN Selama sejak 2004 berkata, beliau membuat keputusan itu atas faktor kesihatan.

"Saya berharap calon yang dipilih oleh rakyat nanti dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat," katanya selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Selama, di sini.

Ditanya mengenai calon yang akan menggantinya, beliau menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Katanya, rakyat di kawasan itu mengharapkan wakil rakyat yang dapat berkhidmat membantu mereka tanpa mengira masa dan keadaan.

"Sejak saya menjadi wakil rakyat di sini, saya mendapat sokongan padu dalam kalangan rakyat," katanya.

DUN Selama adalah satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Larut. Dua lagi DUN ialah Kubu Gajah dan Batu Kurau.

DUN Kubu Gajah diwakili oleh Ahmad Hasbullah Elias manakala EXCO kerajaan negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria menjadi ADUN Batu Kurau.

Parlimen Larut diwakili Datuk Hamzah Zainuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Awal bulan ini, Ahmad Hasbullah, 51, mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding pada PRU14 kerana ingin memberi laluan kepada pemimpin baharu.

Beliau yang juga abang kepada penceramah terkenal, Datuk Muhamad Kazim Elias, dilaporkan membuat keputusan itu kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan UMNO Bahagian Larut.

Berita Harian X