Sabtu, 15 Julai 2017 | 1:25pm

Hanya angan-angan pembangkang - Shahidan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shahidan Kassim bersama Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia (tiga dari kiri) dan ahli Wanita UMNO Bahagian Maran pada majlis Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNO Pekan Tajau, di sini, hari ini. - Foto Wan Kemat

MARAN: Hasrat pembangkang mahu menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hanyalah angan-angan selagi tidak mendapat menang majoriti kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata Perdana Menteri dilantik daripada kalangan pemimpin parti politik yang menang dalam pilihan raya dan bukannya secara individu dan sukar digugat selagi rakyat memberikan sokongan padu.

"Pembangkang hanya ingin mengelirukan rakyat kononnya Perdana Menteri boleh ditumbangkan jika memberi sokongan kepada parti mereka padahal perkara seumpama itu sukar dilakukan.

"Pembangkang perlu mendapat 130 kerusi seperti yang diperoleh Barisan Nasional (BN) jika ingin menumbangkan Najib dan mereka sedar sokongan rakyat terhadap parti mereka mula berkurangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNO Pekan Tajau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Ketua Wanita UMNO bahagian, Datuk Rosni Zahari.

Berita Harian X