Isnin, 10 Julai 2017 | 6:34pm

DAP perlu hormati undang-undang negara

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. - Foto Abd Rahim Rahmat
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. - Foto Abd Rahim Rahmat

PUTRAJAYA: DAP perlu menghormati dan mematuhi arahan serta tidak menyalahkan atau mempolitikkan isu pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) seperti diarahkan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menyatakan kehairanan terhadap 'kebimbangan' DAP mengadakan pemilihan semula CEC, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, turut mempersoalkan mengapa DAP perlu mempolitikkan semua isu dalam negara seolah-olah mereka melangkaui undang-undang.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut menyatakan kerajaan hanya menyarankan pemilihan semula diadakan.

"UMNO pernah diharamkan, kita akur dan mematuhi peraturan seperti disyorkan ROS," katanya kepada media pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di Dewan Pameran Menara Usahawan di sini, hari ini.

Beliau mengulas sikap berdolak-dalik DAP yang dilihat mengingkari arahan ROS apabila bertegas tidak akan mengadakan pemilihan semula CEC baharu, atas alasan parti sudah berbuat demikian pada 29 September 2013.

DAP dijangka mengadakan pertemuan dengan ROS bagi mendapat penjelasan berhubung arahan mengenai pemilihan semula CEC itu, namun tiada yang hadir ke pejabat ROS di sini hari ini.

Sumber ROS memaklumkan, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohamad Razin Abdullah, berkursus di luar dan hanya akan kembali bertugas Khamis ini manakala ROS mengesahkan tidak menerima atau mengeluarkan surat kepada DAP bagi mengadakan pertemuan.

Abdul Rahman berkata, calon DAP mungkin tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum akan datang jika ingkar arahan ROS dan dan turut menegur parti itu supaya jangan mengaitkan masalah dalaman mereka dengan Barisan Nasional (BN).

Berita Harian X