Ahad, 9 Julai 2017 | 4:49pm

Isu CEC: DAP kena patuh keputusan ROS

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong merangkap Anggota Parlimen Teluk Intan menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan kebajikan Teluk Intan pada Majlis Mesra Aidilfitri di Arena Square, Teluk Intan. - Foto BERNAMA
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong merangkap Anggota Parlimen Teluk Intan menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan kebajikan Teluk Intan pada Majlis Mesra Aidilfitri di Arena Square, Teluk Intan. - Foto BERNAMA

TELUK INTAN: Parti GERAKAN menasihatkan DAP mematuhi arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mengarahkan parti pembangkang itu mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) selepas pemilihan lalu menjadi tidak sah. 

Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, DAP jangan bersikap angkuh dengan membelakangkan undang-undang yang sudah ditetapkan menerusi Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan yang ditetapkan oleh parti pembangkang itu sendiri. 

"Kita menasihatkan DAP jangan cuba mempolitikkan isu pemilihan CEC yang tidak sah ini kerana ia sebenarnya akan memberi kesan buruk kepada masa depan parti itu," katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan duit raya kepada 100 warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal miskin di kawasan Parlimen Teluk Intan di sini hari ini. 

Jumaat lalu, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah meminta DAP mengadakan pemilihan semula CEC selepas mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu menerusi pemilihan semula pada 29 September 2013, tidak sah. 

Menurut Mohammad Razin, pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, yang membabitkan seramai 2,576 perwakilan dari 865 cawangan. 

Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan parti berkenaan. 

Siew Keong yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti berkata, tidak ada keistimewaan diberikan kepada DAP kerana semua parti politik perlu akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh ROS. 

"DAP sebenarnya berisiko dibatalkan pendaftarannya jika terus gagal mematuhi arahan ROS berdasarkan Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Berita Harian X