Sabtu, 8 Julai 2017 | 1:33pm

DAP perlu cermin diri - MCA

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan DAP digesa berhenti mengalihkan isu dalaman parti itu yang dilihat semakin serius, sebelum menunding salah pihak lain.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata bagaimana DAP mahu terajui negara dan masyarakat jika kepemimpinan parti itu langsung gagal memberi tumpuan untuk menyelesaikan kemelut dalaman pemilihan semula Jawatankuasa Pusat (CEC).

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Katanya, setiap pemimpin dalam parti politik perlu bersikap bertanggungjawab menyelesaikan masalah masing-masing meskipun ada dakwaan isu yang dibangkitkan adalah tidak masuk akal.

"Alasan mustahil yang dibangkitkan dia (Lim Kit Siang) adalah cubaannya mengalihkan isu CEC. (DAP) Kena selesaikan masalah parti sendiri kerana lumrah yang dihadapi setiap parti politik.

"Tengok cermin sendirilah, tengok apa yang berlaku dalam parti dialah (DAP). Masalah pemilihan parti sendiri pun tak betul, macam mana nak memimpin masyarakat dan negara.

"Pemilihan dalam parti kena ikut perlembagaan parti, masalah mereka tak payah (perlu) nak salahkan orang lain," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Ulang Tahun Ketiga Penubuhan Sekolah Politik MCA di Wisma MCA di sini hari ini.

Tiong Lai mengulas kenyataan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, menerusi status yang dimuatnaik di Twitternya petang semalam yang menyifatkan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya DAP mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tidak masuk akal.

Ia berhubung arahan Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, semalam bahawa ROS mengeluarkan arahan kepada DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu.

Menurut Mohamad Razin, pemilihan CEC baharu dan telus itu bagi membolehkan para perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Berita Harian X