Sabtu, 10 Disember 2016 | 4:16pm

Pemuda MCA bidas kerjasama DAP-Dr Mahathir

Kira-kira 100 ahli dan pemimpin Pemuda MCA Perak diketuai Ketua Pemuda MCA negeri, Ting Tai Fook mengadakan perhimpunan mengutuk DAP di hadapan Pejabat DAP negeri di Medan Istana.Turut serta ialah Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon. - Foto NSTP/Yahya Zainuddin
Kira-kira 100 ahli dan pemimpin Pemuda MCA Perak diketuai Ketua Pemuda MCA negeri, Ting Tai Fook mengadakan perhimpunan mengutuk DAP di hadapan Pejabat DAP negeri di Medan Istana.Turut serta ialah Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon. - Foto NSTP/Yahya Zainuddin

IPOH: Tindakan pemimpin utama DAP bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dahulu musuh ketat mereka sukar diterima masyarakat Cina.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon, berkata tindakan itu jelas menunjukkan DAP tidak mempunyai prinsip kerana selama ini, Lim Kit Siang dan Dr Mahathir adalah musuh ketat, namun berkawan demi kepentingan diri.

"Jadi parti seperti ini (DAP) memang tidak boleh diterima masyarakat kaum Cina khususnya," katanya selepas bersama 100 ahli dan pemimpin Pemuda MCA Perak, diketuai Ketuanya, Ting Tai Fook mengadakan perhimpunan mengutuk DAP di hadapan Pejabat DAP negeri di Medan Istana di sini hari ini.

Kim Soon berkata, DAP tidak belajar daripada pengalaman dalam hubungan parti itu dengan PAS sebelum ini selepas sekian lama bekerjasama dalam beberapa pilihan raya umum.

"DAP parti yang paling tidak berprinsip kerana sebelum ini berganding bahu dan bekerjasama dengan PAS, namun hari ini bertelagah. Oleh itu, tak perlu nak ulas dan kata MCA perlu serah balik jawatan dalam Kabinet atau undur daripada BN (Barisan Nasional). Sepatutnya, DAP kena dibubarkan," katanya.

Sementara itu, Tai Fook berkata, kerjasama DAP dan Dr Mahathir hanya demi kepentingan parti itu serta Kit Siang dan anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

"DAP parti yang tak ada prinsip langsung, apa yang mereka janji dan katakan kepada rakyat sebelum ini, iaitu Dr Mahathir pemimpin korup besar dan mempunyai simpanan lebih RM100 bilion di luar negara. Minggu lalu mereka boleh duduk sekali, berkawan dan ada satu tujuan sama, iaitu untuk membentuk kerajaan.

"Ini perbuatan politik yang paling tidak berprinsip, menggadaikan kepentingan rakyat demi kuasa pemerintahan, kepentingan DAP sendiri serta kepentingan Guan Eng dan Kit Siang," katanya.

Berita Harian X