X
Isnin, 21 November 2016 | 8:39pm

Dr Mahathir rela dijadikan kuda tunggangan - Nazri

Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) dan Datuk Seri Nazri Aziz. - Foto NSTP
Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) dan Datuk Seri Nazri Aziz. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad rela dijadikan tunggangan pihak berhaluan kiri kerana bekas Perdana Menteri itu adalah liabiliti pembangkang, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau berkata, Dr Mahathir sanggup mengubah imej dan mengorbankan prinsip untuk berkongsi pentas dengan pembangkang kerana sedar dirinya tidak diterima mana-mana parti.

"Semua parti tidak berminat untuk terima Dr Mahathir sebagai ahli. Justeru, beliau menubuhkan parti sendiri untuk merealisasikan agenda peribadinya.

"Matlamatnya dari dulu sehingga sekarang sangat jelas iaitu untuk memastikan legasi kepemimpinannya diterajui (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, petang tadi.

Nazri berkata, Dr Mahathir berjaya memperdaya pembangkang dengan mencuri pentas Bersih 5 demi meraih populariti, selain cuba memadamkan kisah silam pelbagai pihak mengenai corak kepemimpinannya yang bersifat 'kuku besi' ketika menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, Dr Mahathir bijak mencatur strategi dan mengubah persepsi negatif pembangkang terhadapnya bagi memastikan setiap agenda peribadinya menerima sokongan rakyat.

"Rakyat mampu menilai perubahan ketara Dr Mahathir ketika ini berbanding zaman menerajui KDN dulu menerusi tindakan agresif menangani sebarang gerakan reformasi dan cubaan menggulingkan kerajaan.

"Bagaimanapun, sekarang beliau menjadi dalang menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak dan bersekongkol dengan pembangkang," katanya.

Berita Harian X