Sabtu, 10 September 2016 | 6:23pm

Kritikan untuk suntik semangat rakan komponen BN Pulau Pinang

Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Kepala Batas di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini. Turut kelihatan bersama Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (dua dari kanan), dan Ketua UMNO bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto Danial Saad

KEPALA BATAS: Kritikan terhadap jentera parti komponen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang adalah bagi membantu rakan parti, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, ia antara lain bertujuan memastikan parti komponen BN di negeri ini mampu bangkit semula setanding dengan UMNO, sekali gus menjadi pemangkin untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kritikan itu perlu dilihat sebagai sebahagian daripada sifat setia kawan dan perkongsian kuasa antara UMNO bersama rakan komponen BN, serta menjelaskan UMNO tidak pernah berniat untuk membolot kuasa.

"Dulu, ketika UMNO hadapi masalah pada 1987, rakan dalam parti komponen BN yang bantu kami untuk bangkit semula.

"Justeru, kini sudah tiba masa bagi UMNO untuk membalas budi dan membantu rakan parti komponen yang berhadapan masalah.

"Hidup kita ini ibarat satu putaran, ada kala di atas dan terkadang kita di bawah. Begitu jugalah yang dialami dalam mana-mana parti. Justeru, rakan komponen BN perlu anggap semua itu sebagai ujian yang akan mematangkan lagi parti keramat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kepala Batas, di Institut Latihan Perindustrian, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Ahmad Zahid turut mengingatkan semua kepemimpinan tertinggi UMNO dan BN supaya tidak menganggap masing-masing sebagai individu hebat selepas menerima sesuatu jawatan.

Beliau berkata, semua kepemimpinan perlu sedar kejayaan meraih jawatan adalah hasil daripada sokongan dan kepercayaan akar umbi.

Berita Harian X