LANGKAWI: Pemimpin dan ahli UMNO di akar umbi perlu memiliki kesalingan bagi mempertahankan parti, selain istiqamah menegakkan perjuangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mahu semua ahli UMNO menyuntik semangat dan roh burung helang yang mempunyai kegagahan serta daya tahan tinggi dalam mempertahankan parti, termasuk ketika berdepan ujian.
"Helang hidup dalam dua fasa dan akan mati kalau tiada daya tahan, namun melalui fasa baharu, helang akan tumbuh paruh dan bulu baharu, kepak lebih kembang dan daya tahan tinggi untuk terbang lebih jauh, kuat dan bersemangat.
"Kita kena ambil dan suntik roh helang dalam UMNO.
"Walaupun berdepan ujian, manakala pemimpin datang dan pergi, kita kena istiqamah dan terus bertapak dengan yang bawah membantu pemimpin di atas dan yang di atas mendokong di bawah.
"Ini yang dipanggil kesalingan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini, hari ini.