Sabtu, 27 Ogos 2016 | 5:54pm

Wanita UMNO kekal setia

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd Dun (empat dari kanan) menyampaikan hadiah Cawangan Cemerlang kepada wakil di Majlis Perasmian Masyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pekan di Bangunan UMNO Pekan. - Foto Shahrinnahar Latib
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd Dun (empat dari kanan) menyampaikan hadiah Cawangan Cemerlang kepada wakil di Majlis Perasmian Masyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pekan di Bangunan UMNO Pekan. - Foto Shahrinnahar Latib

PEKAN: Semua pemimpin dan ahli Pergerakan Wanita UMNO akan terus berjuang untuk parti dan tidak sesekali berpaling tadah semata-mata inginkan jawatan.

Naib Ketuanya, Datuk Azizah Mohd Dun, yakin ahli Wanita UMNO di seluruh negara tidak akan lari daripada perjuangan untuk menyertai parti baharu termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

"Ini tidak akan berlaku kerana semangat dalam kalangan Wanita UMNO masih kukuh untuk bersama meneruskan perjuangan dengan pucuk kepemimpinan parti.

"Saya yakin ahli Wanita UMNO di seluruh negara tidak akan berpaling kerana mereka lebih mementingkan perjuangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Pekan di Bangunan UMNO Pekan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Pekan, Datuk Zalmah Abdul Rahman.

Azizah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mahu ahli Wanita UMNO berjuang dengan ikhlas untuk kepentingan bangsa dan negara.

"Jika sertai (UMNO) hanya untuk mengejar jawatan, itu perlu dibetulkan segera," katanya.

Berita Harian X