Sabtu, 20 Ogos 2016 | 2:44pm

Najib lawat bekas Ketua Penerangan UMNO

NAJIB menziarahi Hussein di Kampung Lemal, Pasir Mas selepas selesai majlis perasmian Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Kubang Batang, Tumpat, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
NAJIB menziarahi Hussein di Kampung Lemal, Pasir Mas selepas selesai majlis perasmian Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Kubang Batang, Tumpat, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

PASIR MAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad, 82, di kediamannya di Lemal, di sini, hari ini.

Najib meluangkan masa kira-kira 30 minit bertanya khabar sambil berkongsi pengalaman mengenai perjuangan UMNO.

Sebagai seorang veteran dalam parti UMNO, Hussein turut memberi nasihat kepada Najib dalam usaha mengekalkan perjuangan parti yang dianggap keramat itu.

"Pentadbiran UMNO zaman sekarang tidak sama dengan era Allahyarham bapanya dahulu, Tun Abdul Razak Hussein yang berteraskan kepada perjuangan dan nasionalisme Melayu.

"Tapi UMNO tidak boleh takut dengan kaum lain, boleh bertoleransi ada sempadannya tapi jangan keterlaluan," katanya.

Turut mengiringi Najib adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat.

Berita Harian X