Ahad, 14 Ogos 2016 | 3:29pm

Pemimpin UMNO perlu tanam nilai kesetiaan - Nazri

KETUA UMNO Bahagian Padang Rengas yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (tengah) bergambar bersama para perwakilan ketika hadir untuk mempengerusikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Rengas di MRSM Kuala Kangsar. - Foto Supian Ahmad

KUALA KANGSAR: Kesetiaan terhadap parti perlu diterapkan dalam kalangan pemimpin UMNO kerana golongan itu dilihat kerap `menderhaka' kepada perjuangan.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata banyak penderhakaan dilakukan pemimpin utama UMNO yang membawa kepada serangan terhadap parti.

"Kita mesti setia kepada parti dan Presiden. Datuk Seri Najib Razak kekal menjadi Perdana Menteri adalah hasil majoriti ahli UMNO yang setia kepada parti.

"Kesetiaan dalam kalangan ahli UMNO di akar umbi ketika ini sudah mantap dan perkara ini (kesetiaan) harus diingatkan kepada pemimpin UMNO kerana yang banyak menderhaka kepada parti adalah pemimpin UMNO sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas yang disempurnakan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermiyati Samsudin, di sini hari ini.

Mohamed Nazri berkata, pemimpin berkenaan menunjukkan contoh tidak baik kerana pada masa sama, kerap meminta ahli setia terhadap perjuangan parti.

Berita Harian X